Cari @ Amanz

Setiap tahun, pihak IBM akan mengeluarkan ramalan untuk lima tahun akan datang dalam dunia teknologi dan perkomputeran. Seperti biasa, untuk tahun ini, mereka turut menerbitkannya yang mana memfokuskan kepada beberapa perkara dalam terus membantu manusia dalam memudahkan tugasan.

Melalui perkongsian pihak IBM untuk tahun ini, lima perkara yang disentuh adalah pendidikan, peruncitan, kesihatan, sekuriti dan juga bandar.

Pendidikan – Pengajaran Diperibadikan

Dalam masa lima tahun, pihak IBM menyasarkan pembelajaran akan lebih dimudahkan dengan setiap pelajar boleh menerima pendidikan mengikut minat mereka, sekaligus membolehkan skill dan kepakaran dibangunkan berdasarkan kepada minat seseorang.

Pada masa yang sama, perkara ini juga dijangka akan memudahkan para cikgu untuk mengajar dengan lebih efektif berbanding pada hari ini.

Peruncitan – Jual Beli Di Kedai Diperibadikan

Pada hari ini, ramai yang membuat pembelian secara dalam-talian. Namun, dalam masa beberapa tahun lagi, perkara ini dijangka berubah, dan pengguna dijangka akan kembali membuat pembelian di kedai seperti sebelumnya.

Namun, ia akan berbeza, dimana setiap perkara akan diperibadikan dengan pelbagai teknologi seperti Augmented Reality dan sebagainya diintegrasikan termasuk penghantaran ke rumah pada hari yang sama.

Secara kasarnya, IBM menyasarkan yang mana jual-beli pada masa akan datang bakal mengintegrasikan pengalaman pembelian fizikal dan dalam-talian.

Kesihatan – DNA Digunakan Untuk Memastikan Anda Sihat

Dalam masa lima tahun, industri kesihatan dijangka teknologi akan memudahkan rawatan berasaskan kepada DNA, sekaligus membolehkan setiap penyakit termasuk kanser dirawat dengan lebih efektif berbanding hari ini.

Sekuriti – Setiap Identiti Akan Dilindungi Pelindung Digital

Pada hari ini, ramai yang menjadi mangsa sekuriti, dimana pelbagai identiti yang diceroboh dan disalah gunakan ramai pihak.

Dalam masa lima tahun akan datang, pihak IBM menyasarkan setiap pengguna akan dilindungi oleh “pelindung digital” tersendiri yang mana akan merangkumi identiti, peranti, aplikasi dan sebagainya.

Perbandaran Lebih Pintar

Sistem perbandaran dijangka akan menjadi lebih pintar dan mengikut apa yang diinginkan penduduk berbanding pada hari ini.

Menurut IBM, sistem perbandaran dijangka akan lebih efektif, dimana setiap perkara akan mengikut perkembangan dan permintaan pengguna. Setiap peranti yang digunakan pengguna juga akan memberikan pandangan berkaitan restoran, rancangan menarik, dan bagaimana untuk mengelak kesesakkan. Rakyat dan penduduk juga dijangka akan lebih mudah untuk berinteraksi dengan pentadbir melalui sistem baru kelak.

…….

Daripada pelbagai idea yang diperlihatkan oleh IBM, sesetengahnya boleh dikatakan telah mula diimplementasikan pada hari ini.

Kebanyakkan daripadanya turut memfokuskan kepada penggunaan teknologi perkomputeran awan dalam memahami kehendak dan minat pengguna – seterusnya memperibadikan sesuatu mengikut apa yang dikehendaki.

Jadi, bagi anda, apakah pendapat anda mengenai ramalan pihak IBM dalam arena teknologi untuk lima tahun akan datang ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd