Cari @ Amanz

Selain daripada dunia teknologi yang bergerak pantas di seluruh dunia, Malaysia turut menerima kesan positif daripadanya, apatah lagi dengan kerajaan yang kini lebih mengalakkan gaya hidup digital.

Sepanjang tahun 2012, pelbagai perkara suka dan duka telah berlaku dalam dunia teknologi, dan tidak ketinggalan adalah dunia teknologi tempatan yang menerima fokus daripada bukan sahaja syarikat dan kerajaan Malaysia, tetapi turut sama daripada pelbagai gergasi dan syarikat luar negara.

Akta 114A Dan Lain-Lain

stop114AInternet dan akta merupakan salah satu perkara yang hangat diperkatakan dalam arena dunia internet tempatan mahupun global.

Dengan info berkenaan dengan Akta Badan Perkomputeran Professional yang masih tidak diketahui sepenuhnya buat masa ini, pada tahun ini juga, salah satu perkara yang dikritik ramai pengguna adalah berkenaan dengan Akta 114A.

Seksyen 114 A, yang boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.

Selain daripada akta yang tidak digemari ramai, salah satu perkara yang disokong dan dinantikan pengaktifannya adalah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang diaktifkan bermula daripada 1 Januari 2013 ini.

Pelbagai Aplikasi Dan Permainan Daripada Pembangun Tempatan

Dengan arena mudah-alih yang berkembang pesat, industri pembangunan aplikasi mudah-alih berkembang dengan pesat, termasuk dengan pelbagai universiti yang turut hadir dengan aplikasi-aplikasi menarik yang membantu dalam pembelajaran.

Beberapa universiti tempatan juga turut memfokuskan kepada pembelajaran pembangunan aplikasi mudah-alih, yang lebih memfokuskan kepada pembangunan aplikasi Android.

Terato Games - AMOKPelbagai syarikat tempatan terus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam arena pengeluaran aplikasi mudah-alih dan juga permainan. TeratoTech yang sedia terkenal dalam arena ini pada tahun 2012 memfokuskan kepada pengeluaran lebih banyak permainan dibawah jenama TeratoGames dan hadir dengan permainan percuma dinamakan sebagai AMOK baru-baru ini.

Beberapa syarikat lain turut menawarkan pelbagai permainan menarik seperti Where’s My Chicken daripada Accurve Studio, dan beberapa yang lain.

Agensi kerajaan dan perkhidmatan juga terus hadir dengan pelbagai aplikasi untuk memudahkan pengguna, disamping syarikat telekomunikasi yang tidak ketinggalan, apatah lagi Maxis yang hadir dengan puluhan aplikasi untuk iOS dan juga Android, serta beberapa aplikasi untuk Windows Phone.

Penerbitan Digital Mendapat Perhatian

Tahun 2012 juga menyaksikan penerbitan digital mendapat perhatian ramai pihak, terutamanya media massa yang sedia ada mula beralih kepada arena digital.

Media Prima yang sedia terkenal dalam arena offline mula memfokuskan sepenuhnya kepada arena digital dibawah jenama Media Prima Digital, mengabungkan Alt Media dan juga NSTP e-Media.

Astro tidak ketinggalan sama, apabila hadir dengan pelbagai saluran khas untuk kandungan mereka di YouTube, membolehkan pengguna mengikuti siaran dan rancangan terbitan mereka melaluinya.

Media cetak tidak ketinggalan dimana pelbagai akhbar sedia ada menawarkan aplikasi mudah-alih mereka dengan mempromosikannya secara lebih aktif, disamping menambah beberapa fungsi interaktif seperti sokongan Augmented Reality, kod QR dan sebagainya pada media yang dicetak, sekaligus membuatkan pengguna memerlukan aplikasi khas untuk mengikuti kandungan lanjut untuknya.

eMall - Karangkraf

Pihak Karangkraf tidak ketinggalan dalam arena digital, apabila melancarkan aplikasi eMall untuk iOS dan juga Android, membolehkan pengguna mendapatkan majalah dan novel pada harga yang lebih murah daripada versi cetak.

eSentral sedia ada terus memperluaskan tawaran mereka dengan menambah aplikasi untuk platform Android, disamping Maxis yang tidak ketinggalan dalam mempromosikan bacaan pada tablet melalui aplikasi mereka Maxis ebuuk.

Samsung turut sama bekerjasama dengan pihak MPH Online dalam menawarkan aplikasi untuk membeli buku digital bagi para pengguna tablet Samsung.

Selain pelbagai syarikat tempatan, Apple sendiri mula akan sokongan iTunes Store untuk pasaran Malaysia, membolehkan pengguna tempatan mendapatkan pelbagai lagu dan video terbitan tempatan melalui iTunes, sekaligus memudahkan lagi mereka yang menerbitkan kandungan untuk menawarkan ia kepada pengguna tempatan.

LTE dan HSBB

Perkhidmatan jalur-lebar semakin meluas pada tahun ini, dengan lebih 60% pengguna tempatan telah pun sedia mempunyai akses internet.

Maxis 4GPelbagai syarikat telekomunikasi di Malaysia memperluaskan kawasan liputan mereka, termasuk SKMM yang menganugerahkan gelombang 2600Mhz untuk syarikat telekomunikasi dalam memperkenalkan perkhidmatan LTE. Buat masa ini, Maxis menjadi yang pertama memperkenalkan perkhidmatan LTE, yang diumumkan secara rasmi pada detik terakhir tahun 2012.

Telekom Malaysia pula dilihat terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena jalur-lebar berkelajuan tinggi, disamping mengumumkan kerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi seperti Maxis, P1, dan beberapa yang lain.

TIMEdotCom turut sama menambah-baik tawaran internet, dengan mendemonstrasikan kelajuan internet sehingga 500Mbps, disamping menawarkan perkhidmatan internet dengan kelajuan sehingga 100Mbps kepada para pengguna umum.

Lebih Banyak Syarikat Memfokuskan Kepada e-Dagang

Dengan berkembangnya dunia internet di Malaysia dengan lebih pesat, salah satu industri yang mendapat keuntungan daripadanya adalah industri e-Dagang.

Lebih banyak kedai jualan berasaskan internet hadir, apatah lagi dengan nama domain dan juga harga sewa pelayan web yang murah pada masa kini. Pihak Google sendiri bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkenalkan GMBO dan mengalakkan peniaga tempatan menawarkan perkhidmatan mereka secara atas-talian.

Pelbagai gergasi luar turut sama mula memulakan perniagaan mereka di Malaysia, dan mempromosikan perkhidmatan dengan meluas, dimana antaranya adalah Rocket Internet melalui Lazada dan Zalora, disamping NewEgg yang mengumumkan penyertaan ke Malaysia bersama-sama dengan Rakuten yang telah mulakan perkhidmatannya.

Sokongan Bahasa Malaysia Mendapat Perhatian Ramai Pembangun

Jikalau sebelum ini, sokongan bahasa Malaysia tidak mendapat perhatian ramai, namun, pada tahun 2012 ia mendapat perhatian ramai pembangun, dalam menawarkan perkhidmatan mereka yang lebih mesra kepada pengguna di sesebuah negara.

Twitter, LinkedIn, dan Instagram adalah antara penyedia perkhidmatan dengan pilihan bahasa Malaysia, memudahkan lagi pengguna tempatan dalam menggunakan perkhidmatan mereka.

Pelayar web Chrome juga sedia didatangkan dalam pilihan bahasa Malaysia, disamping Mozilla yang telah memulakan ujian untuk Firefox dalam bahasa Malaysia melalui saluran Nightly.

Pihak Microsoft tidak ketinggalan dalam melancarkan Windows 8 yang didatangkan bersama-sama sokongan bahasa Malaysia padanya.

Terbaru, AirBNB juga turut memperluaskan perkhidmatan mereka ke Malaysia, dan menawarkan perkhidmatan mereka dalam bahasa Malaysia.

Lebih Banyak Produk Google Yang Dioptimasikan Untuk Pengguna Malaysia

Bercakap mengenai perkhidmatan yang dioptimasikan untuk pengguna tempatan, salah satu syarikat gergasi yang memberikan perhatian serius untuk pasaran Malaysia adalah Google.

Doodle MerdekaGoogle pada tahun ini telah pun melancarkan YouTube Malaysia, menawarkan pelbagai kandungan daripada penerbit tempatan melaluinya, sekaligus memudahkan pengguna tempatan mengetahui pelbagai kandungan terbitan tempatan dengan mudah.

Disamping itu, YouTube Malaysia juga turut memperkenalkan sokongan YouTube Partner Program untuk penerbit tempatan, membolehkan sesiapa sahaja yang menerbitkan video mereka untuk menjana wang melaluinya.

Tidak ketinggalan sama adalah fokus Google Maps untuk pasaran Malaysia. Walaupun sokongan navigasi masih tidak disokong, namun Google kelihatan memperkenalkan satu demi satu fungsi baru untuk pengguna tempatan.

Antara yang mendapat fokus adalah sokongan transit dan juga trafik pada Google Maps, membolehkan pengguna tempatan mengetahui pengangkutan awam untuk kesesuatu destinasi, disamping mengetahui keadaan trafik jalan raya semasa dengan mudah.

Dalam mengalakkan kandungan terbitan tempatan, Google Malaysia turut sama melancarkan Chrome WebStore untuk pasaran Malaysia, disamping bekerjasama dengan beberapa penyedia kandungan dalam melancarkannya.

Pengguna Tempatan Lebih Aktif Berinteraksi Melalui Media Sosial

Google+ HangoutBercakap mengenai tahun 2012 dan juga teknologi, semestinya media sosial merupakan salah satu perkara yang tidak boleh dilupakan.

Sepanjang tahun ini, pelbagai media sosial digunakan ramai pihak dalam berinteraksi antara peminat, pelanggan dan sebagainya. Antara yang popular semestinya adalah Twitter dan juga Facebook, serta tidak ketinggalan adalah Google+.

Pelbagai ahli politik juga turut sama memulakan penggunaan Google+ Hangout dalam berinteraksi bersama penyokong dan juga rakyat, dimana buat masa ini, kedua-dua, Anwar Ibrahim dan juga Najib Razak telah pun menggunakannya.

Selain daripadanya, pengguna tempatan juga kelihatan lebih aktif menggunakan Instagram dan juga YouTube, disamping syarikat yang mula memfokuskan kepada LinkedIn dalam pencarian pekerja baru.

Jadi, Apakah Yang Bakal Dibawakan Pada Tahun 2013?
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd