Salah satu perkara yang patut dipuji pada Asus adalah dimana mereka berani hadir dengan pelbagai inovasi baru, selangkah lebih awal daripada para pesaing yang lain. Terkini, mereka mengumumkan kerjasama dengan Leap Motion, sekaligus menandakan mereka akan hadir dengan peranti baru yang dikawal dengan gerakan tidak lama lagi.
Leap Motion membangunkan teknologi untuk mengawal komputer menggunakan gerakan tangan, menggantikan input berdasarkan tetikus atau papan kekunci. Bagi mereka yang pernah menonton filem seperti Iron Man mahupun Minority Report, mungkin pernah melihat bagaimana ia berfungsi.
Melalui kerjasama kedua-dua pihak ini, Asus akan menyertakan teknologi kawalan Leap Motion pada komputer AIO dan juga komputer riba berspesifikasi tinggi mereka, yang mungkin akan dilancarkan pada tahun ini.
Selain daripada kerjasama dengan pihak Asus, Leap Motion sendiri ada menjual peranti mereka secara berasingan yang boleh membaca gerakan tangan anda, dan mengintegrasikannya pada komputer anda. Peranti berasingan ini boleh di pra-tempah pada harga $70 (~RM210) dan akan mula dihantar kepada pengguna tidak lama lagi.