Carian
Samsung Dilaporkan Bakal Memfokuskan Kepada Kandungan Dan Juga Perusahaan Pada Tahun 2013
January 10, 2013 Aman

Dengan nama Samsung yang kini mendahului pelbagai jenama lain dalam industri telefon pintar, semestinya ramai yang menantikan apakah yang bakal dibawakan oleh mereka sepanjang tahun 2013 ini. Menurut Reuters, selain daripada pelbagai peranti keluaran mereka, Samsung turut memfokuskan kepada kandungan dan pengguna perusahaan pada tahun 2013 ini.

Reuters mengatakan Samsung kini melabur dan memfokuskan kepada peranti yang disukai oleh pengguna perusahaan, terutamanya dari segi sekuriti dan juga fungsi yang didatangkan bersama-sama dengannya.

Seperti semua sedia maklum, BlackBerry adalah salah satu jenama yang sering diperkatakan apabila disebut mengenai perusahaan. RIM bakal memperkenalkan BlackBerry 10 pada hujung Januari ini, dan sementara mereka masih sukar untuk menarik minat ramai, mungkin Samsung boleh mengambil peluang yang ada ini.

Pada masa yang sama, mereka juga dilaporkan bakal memfokuskan kepada perkhidmatan kandungan mereka. ChatOn merupakan salah satu perkhidmatan permesejan percuma yang difokuskan oleh mereka, yang diberi nafas baru pada minggu lepas.

Selain daripada itu, Samsung juga dikatakan akan memudahkan pengguna menikmati lebih banyak kandungan ketika menonton televisyen, sekaligus mengintegrasikan pelbagai peranti mereka untuk pelbagai tujuan.

Pada CES 2013 yang diadakan minggu ini, Samsung hadir dengan beberapa televisyen pintar baru, yang mana kelihatan menarik minat ramai pihak.

Komen