Carian
Ulasan : Samsung Galaxy Camera
January 18, 2013 Effi Saharudin


Lebih kurang setahun yang lalu kami ada paparkan rencana parodi dimana kami melaporkan berita Canon akan menghasilkan DLSR dengan sistem operasi Android. Kamera ini kononnya dihasilkan bagi memudahkan pengguna DLSR memuatnaikkan gambar yang ditangkap ke Instagram. Sungguh tidak disangka laporan yang hanya sekadar parodi ini akhirnya menjadi realiti apabila Nikon mengumumkan Nikon COOLPIX S800c , kamera pintar Android mereka Ogos tahun lalu. Kami tidak pernah melihat sendiri Nikon COOLPIX S800c dengan mata kami sendiri dan kami tidak tahu sejauh manakah sambutan pengguna terhadap kamera pintar Nikon ini.  Apa yang pasti kamera pintar hanya benar-benar menjadi buah mulut orang ramai apabila Samsung mengumumkan Samsung Galaxy Camera, kamera pintar dengan sistem operasi Android Jelly Bean.

Perkakasan

Dari segi spesifikasi, Samsung Galaxy Camera mempunyai spesifikasi yang hampir sama dengan  Samsung Galaxy S III . Ia diperkasakan dengan pemproses 1.4 GHz empat teras, RAM 1 GB, muatan dalaman 8 GB, kamera 16.3 Megapixel, dan skrin SLCD 4.8 inci.  Perbezaan diantara dua peranti Samsung ini hanyalah pada sensor kamera, paparan skrin kapasiti bateria dan rupa fizikal. Tidak seperti Galaxy S III, Galaxy Camera juga tidak mempunyai kemampuan telefoni.

Spesifikasi Galaxy Camera
Cip 1.4GHz (empat-teras)
Skrin 4.8-inci SLCD
Kamera 16.3 megapixel
Storan Terbina 8 Gigabyte
RAM 1 Gigabyte
Bateri 1650 mAh
Sistem Operasi Android Jellybean
Kemasan

Samsung Galaxy Camera  mempunyai binaan yang terasa lebih premium daripada telefon pintar buatan Samsung yang memang sudah terkenal dengan binaannya yang plastik. Tubuh Galaxy Camera diperbuat daripada logam dan mempunyai binaan yang kukuh. Pada bahagian belakang pula. kemasan aluminium digunakan pada sekeliling skrin sesentuh. Bahagian pemegang kamera pula diselaputi dengan getah bagi memudahkan genggaman pengguna. Kamera pintar ini agak berat dan pemegang bergetah ini dapat mengelakkan kamera ini dari tergelincir dari pegangan anda.

Butang pemetik kamera dan picu memfokus terletak pada bahagian atas kamera. Pada bahagian kanan pula terletak port mikro USB. Port ini ditutup dengan penutup plastik bagi menghalang kemasukan debu. Pada bahagian terletak pula terletak butang flash.  Slot kad sim, mikro SD, bateri dan mikro HDMI diletakkan pada bahagian bawah kamera. Kami merasakan lokasi port mikro HDMI ini adalah kurang mesra pengguna. Port ini ditutup dengan penutup kecil yang harus dikupil sebelum anda boleh mengakses port mickro HDMI ini. Adalah lebih baik sekiranya di dalam model Galaxy Camera seterusnya port mikro HDMI diletakkan pada bahagian tepi tanpa diletakkan penutup yang sukar dibuka.

Bercakap mengenai slot kad mikro SD, Galaxy Camera tidak menyokong kad memori tambahan yang lain selain dari mikro SD.  Tiada sokongan untuk kad memori lain seperti SD ataupun CF pada Galaxy Camera.

[amanz-gallery]

Penggunaan Galaxy Camera

Dari segi penggunaan tidak ada banyak beza diantara Galaxy Camera dengan kamera kompak yang ada di pasaran sekarang. Perbezaan yang pertama anda sedari ialah masa yang diambil untuk Galaxy Camera untuk dihidupkan. Masa boot up memakan masa lebih kurang 20 saat. Ini bermakna anda tidak boleh menggunakan Galaxy Camera secara terus untuk mengambil gambar dengan pantas.  Fungsi kamera boleh diaktifkan dengan menekan ikon kamera pada bahagian bawah sebelah kiri skrin sesentuh ataupun menekan butang pemetik kamera. Anda juga boleh mengambil gambar dengan menekan ikon kamera pada skrin sesentuh selepas aplikasi kamera diaktifkan. Pada bahagian atas antaramuka diletakkan beberapa butang tetapan untuk flash, timer, mod pengambilan video dan mod kawalan suara.

Pada bahagian bawah pula terletak pilihan untuk meletakkan filter pada gambar yang diambil. Sebanyak 13 filter ala Instagram disediakan oleh Samsung.

Selain daripada itu beberapa preset lain turut disertakan bagi membantu pengguna mengambil gambar pada waktu malam ataupun menghasilkan kesan khas yang sebelum ini tidak mampu dilakukan oleh mana-mana peranti Android. Sebagai contoh preset light trace membolehkan pengguna melakukan kesan light painting. Sebanyak 15 pilihan preset disediakan dan ianya boleh dipaparkan dalam bentuk grid ataupun paparan secara tatalan.

Terdapat juga kawalan secara manual sekiranya pengguna mahukan kebebasan menetapkan kelajuan shutter , dedahan sensor dan saiz aperture kamera.

Ulasan Kamera

Dengan harga jualan RM1899, Samsung Galaxy Camera adalah lebih murah dari kebanyakan kamera kompak yang ada di pasaran. Oleh itu gambar yang diambil juga sepatutnya lebih baik dari kamera kompak seperti Panasonic DMC LX5 yang mempunyai lensa LEICA dan hanya sensor sebesar  11.3 Megapixel.

Dari pengamatan kami gambar yang diambil menggunakan LX5 masih jauh lebih baik sungguhpun diatas kertas spesifikasinya lebih rendah dari Galaxy Camera. Dari segi ketajaman imej dan penghasilan warna gambar dari kamera kompak tidak pintar ini lebih cantik.

Tetapi kami rasakan adalah lebih baik jika Galaxy Camera dibandingkan dengan LG Nexus 4 kerana kedua-duanya sebuah peranti Android dan mempunyai fungsi yang sama dimana gambar diambil akan dikongsikan melalui laman sosial dan bukannya untuk dicetak secara fizikal.

Dari gambar jelas sekali Galaxy Camera mengambil gambar yang lebih jelas dan terang.  Lensa Galaxy Camera yang lebih besar membenarkan lebih banyak cahaya memasuki sensor dan ini menghasilkan imej yang lebih cerah dan tajam

Kekuatan sebenar Galaxy Camera pada pendapat kami terletak kepada kemampuan zoom optikalnya. Seperti yang kita sedia maklum fungsi zoom digital pada kesemua peranti mobil menghasilkan gambar yang kabur dan berpixel. Masalah ini tidak wujud pada Galaxy Camera seperti yang anda boleh lihat pada gambar perbandingan zoom sebanyak 4X di bawah.

Bateri

Kami mendapati Galaxy Camera dapat digunakan selama 7 jam secara berterusan sebelum perlu dicas semula.  Bagi memanjangkan hayat bateri terdapat fungsi penutupan secara automatik selepas tidak digunakan semalam 1-4 jam.  Selain itu fungsi smart network juga membantu mengurangkan penggunaan bateri dengan mematikan fungsi data ataupun wifi apabila tidak skrin dimatikan.

Penanda Aras

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, Galaxy Camera mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama dengan sebuah Galaxy SIII. Sungguhpun begitu dalam ujian penanda aras menggunakan Antutu dan Quadrant , kami mendapati markah penanda aras Galaxy Camera adalah lebih rendah dari sebuah Galaxy SIII.

penanda aras asus padfone

Kesimpulan

Dari segi kualiti gambar, Galaxy Camera masih belum mampu menyaingi kamera-kamera kompak yang ada di pasaran sekarang. Harganya yang agak mahal pula membuatkan anda terfikir sama ada ianya sebuah peranti yang berbaloi untuk dibeli. Seperti Galaxy Note sebelum ini, Samsung cuba mencipta pasaran baru untuk peranti pintar. Note dihasilkan untuk individu yang mahukan peranti dengan skrin yang lebih besar dari yang ada di pasaran. Galaxy Camera pula kami rasa ialah peranti untuk mereka yang tidak berapa menitik beratkan kualiti gambar yang diambil asalkan ianya cukup elok untuk dimuat naik ke laman sosial seperti Instagram. Demografi pengguna Galaxy Camera terdiri dari mereka yang mahu mengambil gambar dan kemudiannya dikongsi secara terus tanpa perlu dimuat turun ke dalam komputer. Seperti Note asal masih terdapat beberapa masalah awal yang kami yakin akan dapat diperbaiki oleh Samsung sekiranya mereka mahu menghasilkan Galaxy Camera II.

Sebagai contoh panel akses untuk port mikro HDMI Galaxy Camera agak sukar untuk dibuka. Selain itu kamera pintar ini tidak menyokong format kad SD standard kamera kompak yang lain kerana hanya menyokong kas mikro SD. Kelajuan boot up juga harus diperbaiki kerana ianya agak perlahan sekarang. Kapasiti bater yang lebih besar juga kami rasakan adalah perlu bagi memanjangkan hayat penggunaan kamera.

Sebagai sebuah peranti Android kualiti gambar yang diambil menggunakan Galaxy Camera jelas lebih baik dari kamera peranti Android yang ada di pasaran. Penggunaan lensa besar dengan kemampuan zoom sehingga 21X menghapuskan masalah gambar yang berpixel dan kabur. Kemampuan mengambil gambar dengan mod light trace dan waterfall sebagai adalah sangat menarik dan tidak terdapat pada mana-mana peranti Android lain. Keunikan ini pastinya menjadi sebab mengapa pengguna di luar sana mahu memiliki kamera ini.
Adakah Galaxy Camera akan menjadi pemangkin kepada revolusi kamera pintar? Kami rasakan ya kerana sejak mula dijual sudah ada beberapa syarikat lain yang memperlihatkan kamera Android mereka sendiri. Galaxy Note berjaya mewujudkan pasaran phablet dan kami tidak sabar untuk melihat apakah inovasi yang bakal terhasil untuk pasaran SmartCam di masa hadapan.

PRO dan Kelebihan

  • Gambar yang diambil menggunakan Samsung Galaxy Camera jelas lebih baik dari yang diambil menggunakan peranti Android lain. Gambar lebih tajam dam kemampuan zoom optikal sebanyak 21X memastikan gambar yang diambil sentiasa tajam.
  • Preset gambar yang diberikan memudahkan proses pengambilan gambar bagi mereka yang kurang mahir
  • Antaramuka mod kamera yang mudah difahami dan dipelajari.
  • Memuatnaik gambar secara terus ke laman-laman sosial dan emel adalah sangat mudah dilakukan
  • Rekaan yang menarik dan binaan yang lebih baik dari kesemua peranti-peranti Android yang lain. Ianya kelihatan lebih premium dari produk Android Samsung sebelum ini
  • Kemampuan mematikan secara automatik memastikan jangka hayat bateri yang panjang.

KONTRA dan Kekurangan

  • Gambar yang diambil masih belum mampu menandingi kualiti gambar kamera point and shoot dengan harga berpadananan di pasaran.
  • Kapasiti bateri yang agak kecil iaitu hanya 1650 mAh. Ini adalah lebih kecil dari yang ada pada Galaxy Note 2 dan Galaxy SIII
  • Mas boot up yang agak lama sekitar 20 saat. Semestinya tidak sepantas kamera tidak pintar sedia ada.
  • Hanya menyokong kad Mikro SD sebagai medium penambahan storan dalaman
  • Permukaan pemegang kamera agak licin dan kecil. Agak mudah tergelincir ketika memegangnya-
  • Harganya yang masih agak mahal

 

Komen