Cari @ Amanz

CES ataupun nama panjangnya, Consumer Electronic Show telah berlangsung sepanjang minggu ini di Las Vegas, memperlihatkan pelbagai syarikat gergasi mahupun kecil hadir dengan pelbagai peralatan dan juga gajet yang menarik, serta memperlihatkan trend semasa tahun ini.

Televisyen 4K

4K = resolusi empat-kali ganda berbanding HD penuh.Bercakap mengenai CES 2013, semestinya salah satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan adalah televisyen. Pada tahun ini, pelbagai syarikat hadir dan memperlihatkan televisyen 4K mereka kepada umum.

Secara kasarnya, format 4K memberikan para pengguna skrin dengan resolusi empat kali ganda berbanding skrin HD penuh yang digunakan dengan meluas pada hari ini.

Di CES 2013, antara syarikat yang menarik perhatian adalah termasuk LG, Samsung, Sony dan juga Toshiba yang mana membawakan rekabentuk televisyen yang tersendiri, dan paparan yang amat tajam padanya.

TV 4K - CES 2013

Telefon Pintar Dengan Resolusi 1080p

Telefon pintar turut sama menerima kesan dengan paparan resolusi skrin HD penuh sejak daripada penghujung tahun lepas.

Pada CES 2013, salah satu peranti yang hangat diperkatakan ramai adalah Sony Xperia Z. Ia membawakan skrin bersaiz 5-inci, dilengkapi dengan kamera 13-megapixel dan sistem operasi Android Jelly Bean padanya. Seperti kebanyakkan telefon pintar Sony, Xperia Z juga turut kalis air, dan membawakan rekabentuk yang amat menarik dan disukai ramai.

Gergasi dari China, Huawei dan ZTE turut sama tidak ketinggalan, dimana masing-masing memperlihatkan peranti mereka.

Huawei hadir dengan Ascend Mate dengan skrin bersaiz 6.1-inci, selain Ascend D2 dan juga peranti Windows Phone 8 pertama mereka, Ascend W1. ZTE pula memperkenalkan peranti utama mereka dengan rekabentuk menarik, dinamakan sebagai ZTE Grand S.

Lenovo, dan beberapa syarikat pengeluar lain, termasuk Alcatel turut tidak ketinggalan dalam memperkenalkan peranti baru mereka.

Cip Pemprosesan Lebih Berkuasa

CES 2013 boleh dikatakan dimulakan dengan pengenalan cip pemprosesan mudah-alih berkuasa, yang mana akan mengubah trend spesifikasi telefon pintar dan tablet yang akan dikeluarkan sepanjang tahun ini.

NVIDIA hadir dengan Tegra 4 yang mana membawakan GPU 72-teras, CPU 4-teras A15, dan juga sokongan modem 4G padanya. Pada masa yang sama, NVIDIA turut sama menekankan sokongan merakamkan gambar dalam bentuk HDR yang disertakan bersama-sama cip pemprosesan mereka itu.

Cip Pemprosesan - CES 2013

Qualcomm pula memperkenalkan keluarga cip pemprosesan baru, dimana Snapdragon 800 dan juga 600 diumumkan, membawakan prestasi penggunaan 75% lebih baik berbanding S4 Pro, disamping dilengkapi sokongan LTE dan kebolehan merakamkan video 4K pada kadar 30FPS menggunakan Snapdragon 800.

Samsung turut sama tidak ketinggalan dalam memberikan kejutan, dengan mengumumkan cip pemprosesan Exynos5 Octa yang dilengkapi dengan lapan teras menggunakan teknologi big.LITTLE. Huawei turut sama berkongsi yang mana mereka turut sama akan hadir dengan cip pemprosesan berkuasa tinggi mereka dalam beberapa bulan lagi.

Dunia Permainan Turut Mendapat Perhatian

Salah satu kejutan menarik pada CES 2013, semestinya pengumuman Project Shield daripada NVIDIA yang mana membawakan peranti kawalan permainan berasaskan Android, dilengkapi dengan cip pemprosesan Tegra 4, selain kebolehan dihubungkan ke PC dan mengawal permainan tersebut padanya.

Selain daripada NVIDIA, Valve bersama rakan kerjasama mereka memperlihatkan mini-PC yang dioptimasikan untuk menjalankan Steam, dikenali dengan nama kod “Piston”, serta memberikan idea awal berkenaan dengan SteamBox yang diperkatakan selama ini.

Oculus Rift yang membolehkan pemain mengawal permainan secara maya dengann menggunakan gajet khas turut sama mendapat perhatian ramai, yang diperkatakan mungkin mengubah dunia permainan. Buat masa ini, Oculus Rift masih pada peringkat prototaip awal, dan tidak diketahui bilakah ia akan direalisasikan.

Dunia Kereta Dipandu Automatik Mula Mendapat Perhatian

Sejak Google memperkenalkan kereta yang dipandu automatik pada tahun lepas, ia telah hangat diperkatakan, dan pada CES 2013 kali ini, pelbagai pengeluar memperlihatkan kereta yang dipandu secara automatik.

Toyota melalui jenama Lexus memperlihatkan kereta dengan sokongan pemanduan automatik, yang mana menyertakan pengesan pada bahagian atas, seumpama yang diperlihatkan oleh Google.

Audi pula dengan konsep berbeza, memperlihatkan kereta yang dikawal menggunakan pengesan dalam bangunan, dimana pengguna juga boleh “memanggil” kereta menggunakan aplikasi khas untuknya.

Ini merupakan hanya sebahagian kecil daripada beberapa perkara yang diperlihatkan pada CES 2013. Semestinya terdapat pelbagai perkara menarik lain, termasuk PaperTab, tablet dengan skrin 4k, skrin flesibel dan boleh lengkung, pelbagai jenis kamera, termasuk kamera Polaroid dengan sokongan lensa boleh ditukar.

Semestinya sesetengah perkara yang diperlihatkan ini akan menetapkan trend semasa dunia teknologi, yang mana akan memberikan kesan kepada pelbagai peranti dan gajet yang akan dikeluarkan sepanjang tahun ini.

Jadi, pada CES 2013, apakah yang menarik minat anda?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd