Carian
CIMB Bakal Memperkenalkan Aplikasi Untuk BlackBerry 10 Seawal Bulan Mac 2013?
January 14, 2013 Aman

CIMB sedia mempunyai aplikasi untuk peranti Android dan juga iOS, dan kini kelihatan mereka juga akan hadir dengan aplikasi khas untuk platform BlackBerry 10 tidak lama lagi.

Daripada apa yang diketahui buat masa ini, aplikasi CIMB ini bakal membawakan fungsi-fungsi seumpama pada platform lain, dimana pembangunannya akan dibahagikan kepada dua fasa.

Aplikasi CIMB untuk BlackBerry 10 ini akan diperkenalkan dalam bentuk fasa pertama menjelang bulan Mac 2013 kelak, dimana akan menyertakan beberapa fungsi padanya, termasuk kebolehan melihat baki, sejarah transaksi, kalkulator pengiraan pinjaman, dan juga pengiraan perubahan mata wang.

Setelah dilancarkan dengan fungsi-fungsi asas pada Mac 2013, CIMB juga dijangka akan mengemaskini aplikasi tersebut pada fasa kedua yang akan menyertakan sokongan perkhidmatan transaksi kewangan, TAC, dan geolokasi untuk mengetahui ATM dan cawangan berdekatan. Kemaskini dengan fungsi fasa kedua ini dijangka akan diperkenalkan menjelang bulan Jun 2013 kelak.

Daripada apa yang diketahui buat masa ini, RIM dijangka akan menaja sebahagian besar daripada kos pembangunan aplikasi tersebut. Buat masa ini, ia boleh dikategorikan sebagai segalanya masih dalam peringkat perancangan, dan mungkin jadual pembangunannya mengalami perubahan dan sebagainya.

RIM bakal mengumumkan BlackBerry 10 pada 30 Januari ini kelak. Beberapa aplikasi lain yang akan turut hadir sama adalah termasuk AirAsia, MAS dan beberapa yang lain, memfokuskan pasaran tempatan.

Komen