Cari @ Amanz

 

LG Nexus 4 ialah iterasi terkini dalam keluarga Nexus keluaran Google. Tahun ini LG diberikan tanggungjawab menghasilkan telefon pintar Nexus oleh Google. Berbeza dengan telefon pintar sebelum ini LG Nexus 4 membawakan perubahan drastik dalam rekaan dan kemasan. Bahagian depan dan belakang Nexus 4 diperbuat dari kaca bagi menghasilkan kemasan yang terasa lebih premium dari rekabentuk plastik sebelum ini. Adakah Nexus 4 telefon pintar benar-benar merupakan peranti terbaik untuk Android seperti yang digembar-gemburkan Google atau ianya hanya propaganda penyedap hati semata-mata?

[amanz-gallery]

Dari segi binaan Nexus 4 membawa pembaharuan berbanding telefon Android sebelum ini. Bahagian belakang dan hadapannya diperbuat dari kaca. Kami difahamkan kaca Corning Gorilla 2 digunakan bagi memastikan dua permukaan peranti ini tahan calar dan retak. Seperti apa yang dilaporkan di dalam ulasan laman sesawang lain, kami mendapati permukaan kaca ini amat mudah memerangkap kesan jari apabila dipegang dan dikendalikan.

Nexus 4 amat selesa dipegang kerana permukaan tepinya yang bulat dan diperbuat dari getah yang lembut. Permukaan kaca hadapannya pula melengkung ke tepi bagi memudahkan tatalan dari kiri ke kanan. Ini berbeza dari lengkungan dari atas ke bawah yang terdapat pada Samsung Galaxy Nexus yang dikeluarkan sebelum ini.

Kemasan
Spesifikasi LG Nexus 4
Cip 1.5GHz (empat-teras) S4 Krait
Kamera Utama 8 megapixel
Kamera Hadapan 1.3 Megapixel
Storan Terbina 8 / 16 Gigabyte
RAM 2 Gigabyte
Skrin 4.7-inci True HD IPS Plus
Bateri 2100 mAh

Dari segi kemasan nyata Nexus 4 dalah lebih baik dari Galaxy Nexus. Tiada lagi bahan plastik pada bahagian belakang seperti Nexus buatan Samsung. Maka tidak hairanlah hampir kesemua peranti Android yang diumumkan pada CES 2013, seperti Sony Xperia Z mempunyai rekaan yang premium seakan-akan Nexus 4. Ini ialah sebuah perkembangan yang baik kerana kami yakin anda seperti kami sudah bosan dengan rekaan “telefon mahal tetapi terlalu plastik” peranti Android yang wujud sekarang.

Oleh kerana bahagian belakang yang berkaca, kami mendapati Nexus 4 agak mudah tergelincir kerana terlalu licin. Sebagai contoh kami menggunakan aplikas Waze sebagai GPS utama ketika memandu dan kami sudah biasa meletakkan telefon di atas riba. Apabila membelok Nexus 4 akan terjatuh dari riba. Ini tidak berlaku ketika menggunakan telefon lain. JIka anda perasan pada telefon lain bahagian belakang adalah agak kasar dan sekaligus agak sukar untuk tergelincir dari posisi ia diletakkan. JIka anda mahu membeli Nexus 4 kami sarankan anda membeli sebuah casing pada kadar segera supaya peranti baru anda tidak mudah tergelincir

Selain masalah terlalu licin dan mudah berminyak, Nexus 4 juga kami percaya mempunyai masalah mudah retak seperti iPhone 4/4S.  Dari pengamatan kami sekiranya Nexus 4 terjatuh secara melintang, bahagian kaca akan lebih mudah retak dari sekiranya ia terjatuh secara menegak.

Penggunaan

Dari penggunaan selama beberapa hari ini kami mendapati Nexus 4 ialah sebuah peranti yang pantas. Kelajuan tatalan skrin adalah sangat lancar dan aplikasi juga dapat dibuka dengan segera. Ini adalah kerana Nexus 4 didatangi dengan pemproses 1.5 GHz empat teras dari keluarga S4 Krait serta RAM sebanyak 2 Gigabyte. Kami juga masih belum menemui sebarang masalah besar seperti aplikasi tertutup dengan sendiri ataupun peranti tergantung ketika digunakan.

Antaramuka Android 4.2.1 yang kami gunakan membawakan beberapa perubahan menarik. Pada skrin kekunci anda boleh melakukan tetapan untuk melancarkan aplikasi kamera dan satu lagi aplikasi lain secara terus. Aplikasi dilancarkan secara serta merta tanpa anda perlu menunggu. Di sini dapat dilihat penanmbahbaikan yang dilakukan Google menerusi Project Butter mereka.

Kami juga menggemari antaramuka baru palang notifikasi telefon ini. Fungsi Wifi, Blueetooth, data , mod kapal terbang dan tahap pengecasan bateri boleh dilihat terus dari palang notifikasi. Sebelum ini dalam binaan Android 4.1 anda perlu meletakkan widget untuk melakukan kesemua ini. Ini sedikit sebanyak mengurangkan penggunaan ruang pada paparan utama telefon.

Satu masalah yang kami rasakan harus kami nyatakan ialah bahagian belakang Nexus 4 akan menjadi sedikit panas jika digunakan untuk beberapa ketika. Ini adalah masalah biasa majoriti telefon pintar yang nampaknya masih belum dapat diselesaikan.

Kamera

Kamera utama 8 Megapixelnya juga menangkap gambar yang tajam. Dalam mod HDR gambar yang diambil kelihatan lebih hidup dan bermaya. Seperti yang anda sedia maklum, Nexus 4 didatangi dengan sistem operasi Android Jelly Bean 4.2 dan ini membolehkan anda mengambil gambar dalam mod Photosphere. Kami menghabiskan masa yang agak lama dalam mod Photosphere dan mendapati adalah agak sukar untuk mendapatkan gambar Photosphere yang sempurna.

Selain daripada itu antaramuka kamera juga diubah dengan drastik. Tiada lagi butang zoom pada paparan skrin dan kawalan zoom dilakukan dengan melakukan pinch in dan pinch out pada skrin sesentuh. Untuk memaparkan menu tetapan kamera pula anda perlu menyentuh skrin selama lebih kurang dua saat.

Nexus 4 Kameraclass=

Untuk melihat gambar yang telah diambil anda perlu melakukan tatalan dari kanan ke kiri dari hujung skrin. Butang galeri yang biasanya terletak pada bahagian bawah sebelah kiri tidak lagi wujud. Bolehlah dikatakan fungsi kamera Nexus 4 mempunyai banyak persamaan dengan fungsi kamera sebuah Windows Phone. Sungguhpun fungsi ini sudah wujud sejak Android 4.1 , dalam versi 4.2.1 ianya nyata lebih lancar dengan antaramuka yang lebih minimalis.

Fungsi kamera Nexus 4 mempunyai banyak persamaan dengan fungsi kamera sebuah Windows Phone

Gambar yang diambil juga boleh disunting secara terus tanpa memerlukan aplikasi luaran seperti sebelum ini . Fungsi suntingan yang terbina dalam adalah cukup lengkap dengan kemampuan melakukan perubahan level , dedahan , curve , ketajaman, warna dan pilihan bingkai.

Nexus 4 Kameraclass=Bateri

Untuk kegunaan harian kami mengaktifkan notifikasi emel, Twitter dan Facebook. Dengan penggunaan sederhana Nexus 4 berjaya bertahan selama 14-15 jam sebelum perlu dicas semula. Dengan penggunaan berat pula bateri Nexus 4 dapat bertahan diantara 8-9 Jam. Ini adalah jangka hayat peranti yang kami rasakan setaraf dengan kebanyakkan peranti yang sudah ada dipasaran dan Nexus 4 tidak membawa sebarang pembaharuan dalam jangka hayat bateri.

Penanda Aras

Seperti biasa kami menggunakan aplikasi Quadrant dan Antutu untuk melihat kemampuan telefon pintar ini. Tetapi kami mendapati markah penanda aras Nexus 4 kami adalah lebih rendah dari markah sepatutnya. Adalah tidak masuk akal Nexus 4 mempunyai markah yang lebih rendah dari sebuah Galaxy S III. Walaupun selepas ujian diulang beberapa kali, markah penanda aras yang diterima masih rendah.

penanda aras asus padfone

Kesimpulan

LG Nexus 4 sememangnya antara peranti yang tercantik yang boleh anda miliki sekarang. Binaan kaca depan dan belakangnya membuatkan Nexus 4 nampak seperti sebuah peranti yang premium. Sungguhpun begitu permukaan kaca ini mudah tercalar sekiranya anda tidak mahu menggunakan casing. Masalah permukaan yang mudah pecah yang sebelum ini dimiliki oleh pemilik iPhone 4/4S kami percaya akan dialami juga oleh pemilik Nexus 4.

Dari segi kemampuan Nexus 4 mampu melakukan segala tugasan harian yang tanpa sebarang masalah. Kelajuan tatalan dan kelancaran membuka aplikasi adalah lebih baik dari sebuah Galaxy Nexus. Perubahan pada antaramuka pada skrin kekunci, kamera dan palang notifikasi menjadikan Nexus 4  sebuah peranti yang mesra pengguna. Sungguhpun begitu masalah bahagian belakang yang menjadi panas apabila digunakan setelah beberapa ketika masih lagi belum dapat diselesaikan

Sensor kamera dinaikkan kepada 8 MP dari 5MP yang ada pada Galaxy Nexus.  Kemampuan mengambil gambar HDR dan Photosphere juga terbina dalam. Anda tidak lagi perlu lagi memuat turun aplikasi pihak ketiga untuk mengambil gambar HDR. Selain daripada itu fungsi menyunting gambar yang terbina dalam pada Nexus 4 sangat lengkap dan mempunyai lebih banyak tetapan dari kebanyakan aplikasi yang ada di GooglePlay.

Kemampuan bateri pula setaraf dengan majoriti peranti empat teras yang ada di pasaran. Ianya mempunyai hayat bateri yang elok sedikit dari PadFone 2 yang kami ulas sebelum ini. Bateri dapat bertahan di antara 8-9 jam dengan penggunaan intensif.

Dengan harga saranan RM 1649, harga jualan Nexus 4 di Malaysia adalah lebih mahal dari harga jualannya di Amerika Syarikat iaitu USD 299 (RM900).   Sungguhpun begitu kami rasakan harga ini masih berbaloi untuk sebuah peranti yang berkemampuan tinggi, mempunyai kamera yang mampu mengambil gambar yang berkualiti serta penaiktarafan kepada sistem operasi Android terkini terpantas berbanding peranti Android yang lain.

Haruskan anda membeli LG Nexus 4? Jawapan ikhlas kami ialah silalah beli peranti ini selagi stok masih ada. Ianya peranti Android terbaik yang ada dipasaran sekarang.

PRO dan Kelebihan

  • Nexus 4 ialah antara peranti yang tercantik yang boleh anda miliki sekarang. Binaan kaca depan dan belakang
  • Tatalan sangat lancar dan aplikasi dapat dihidupkan dengan segera. Kami langsung tidak mengalami masalah lagging ataupun aplikasi tergantung.
  • Penaiktarafan Android ke versi yang terkini boleh dilakukan dengan segera.
  • Fungsi suntingan gambar terbina dalam yang cukup lengkap. Anda tidak lagi perlu memuat turun aplikasi dari pihak ke tiga.
  • Kamera dengan mod HDR dan Photosphere. Dua mod kamera yang kini juga terbina dalam

KONTRA dan Kekurangan

  • Rekaan badan yang diperbuat dari kaca mungkin cantik tetapi ianya juga cepat kotor dengan cap jari dan mudah pecah apabila terjatuh
  • Masalah panas pada bahagian belakang jika digunakan pada masa yang agak lama
  • Tiada sokongan penambahan muatan dalaman kad mikro SD
  • Harga jualan yang mahal dibandingkan dengan harga jualan di Amerika Syarikat. Tidak seperti di Amerika Syarikat, harga Nexus 4 tidak disubsidi oleh Google di Malaysia.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd