Chrome 25 Membawakan Sokongan Carian SSL Pada Omnibox Untuk Semua

Chrome 25 Membawakan Sokongan Carian SSL Pada Omnibox Untuk Semua

Diterbitkan pada Jan 21, 2013 oleh .

Sehingga ke hari ini, apabila pengguna melakukan carian menggunakan omnibox pada Chrome, mereka perlu log masuk ke akaun Google terlebih dahulu sebelum dapat melihat halaman keputusan carian dengan SSL. Tetapi, pada Chrome 25 ia diaktifkan kepada semua tanpa perlu log masuk ke akaun Google.

Perkara ini sekaligus menjadikan pelayaran dan carian di Google Chrome lebih selamat berbanding sebelum-sebelum ini. Apatah lagi dengan lebih ramai yang menggunakan rangkaian WiFi terbuka, ini dapat mengelakkan daripada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melihat carian yang dilakukan anda dan sebagainya.

Sokongan yang sama seperti ini telah diaktifkan oleh Mozilla pada Firefox sejak daripada bulan Julai tahun lepas, dan kini Google mula memperkenalkannya pada saluran beta dan juga dev.

Namun, bagi mereka yang sering menggunakan pelayar web Chrome dengan akaun Google yang telah sedia di log masuk, mungkin fungsi ini tidak memberikan kesan yang banyak bagi mereka.

Untuk mereka yang ingin mencuba Chrome versi pembangunan, mungkin boleh mendapatkan versi beta daripada saluran rasmi mereka, sementara menantikan Chrome 25 dilancarkan ke saluran stabil dalam beberapa minggu lagi.


TIPS & ULASAN