Sejak Ubuntu Phone diumumkan pada awal bulan ini, ia mendapat pelbagai reaksi positif, dan kini pembangunnya kelihatan akan membangunkannya secara terbuka dengan usahasama komuniti. Melalui halaman wiki yang dikemaskini, ia kelihatan pelbagai aplikasi utama akan dibangunkan bersama-sama oleh komuniti.
Daripada apa yang diperlihatkan, ia menunjukkan, aplikasi yang akan dibangunkan bersama-sama oleh komuniti adalah termasuk kalendar, jam, cuaca, kalkulator, klien emel, pembaca RSS, pengurus fail, paparan dokumen, YouTube, Facebook, Twitter, Terminal dan juga pengurus akaun.
Perkara ini sekaligus memperlihatkan, Ubuntu Phone akan didatangkan dengan aplikasi sosial terbina, serta memudahkan pengguna mengikuti pelbagai kemaskini daripada pelbagai laman web melalui aplikasi pembaca RSS terbina.
Dan salah satu perkara yang menarik perhatian adalah aplikasi Terminal yang mana akan didatangkan bersama-sama dengan Ubuntu Phone, sama seperti sistem operasi utama mereka – Ubuntu OS.
Buat masa ini, ia masih lagi pada peringkat awal, dan bagi yang berminat, mungkin boleh menyumbangkan kepakaran dalam membangunkan sistem operasi sumber terbuka ini.