Animonsta Pada Tahun 2013 – Fokus BoBoiBoy, Bakal Hadir Dengan Filem

Animonsta Pada Tahun 2013 – Fokus BoBoiBoy, Bakal Hadir Dengan Filem

Diterbitkan pada Jan 26, 2013 oleh .

Filem BoBoiBoy bakal dimulakan pembangunan pada tahun iniAnimonsta Studios merupakan salah satu studio animasi tempatan yang memfokuskan dalam memperkembangkan kandungan animasi dan kreatif di Malaysia. Syarikat yang diasaskan pada September 2009 ini kini dilihat memfokuskan kepada hanya satu siri animasi utama, iaitu BoBoiBoy.

Nizam RazakKami telah berkesempatan untuk bertemu dengan Nizam Razak, pengasas Animonsta dalam bertanya akan beberapa perancangan mereka sepanjang tahun 2013 ini.

Daripada apa yang dikongsikan, pihak Animonsta masih memfokuskan sepenuhnya kepada BoBoiBoy pada tahun ini, dimana mereka akan menyambung siri animasi tersebut untuk musim kedua dan ketiga.

Menariknya, selain daripada siri animasi biasa, Animonsta juga dalam perancangan untuk hadir dengan sebuah filem khas untuk BoBoiBoy. Berkenaan dengan jalan cerita dan bilakah ia akan ditayangkan, pihak Animonsta mengatakan mereka masih belum boleh berkongsi mengenainya, tetapi akan diketahui dan diumumkan dalam masa dua tiga bulan lagi.

Berkenaan dengan aplikasi permainan dan sebagainya, ia dimaklumkan, Animonsta akan terus bekerjasama dengan syarikat lain dalam mengeluarkan aplikasi permainan BoBoiBoy. Tetapi apakah yang akan dikeluarkan masih tidak diketahui buat masa ini.

Buat masa ini, Animonsta hanya telah mengeluarkan satu sahaja permainan BoBoiBoy untuk iPhone, iaitu BoBoiBoy Superkick, dimana boleh dimuat-turun pada harga $0.99 daripada App Store, membawakan bentuk permainan yang memerlukan pemain mengawal bola dengan mengerakkan peranti mereka.

Untuk tahun 2013 juga, Animonsta merancang untuk menambah kakitangan syarikat mereka, disamping terus mencungkil bakat-bakat anak muda tempatan dalam industri kreatif. Terdapat juga perancangan untuk beralih ke bangunan baru, tetapi ia tidak dikongsikan sepenuhnya buat masa ini.

Selain BoBoiBoy, mungkin juga kelak kita akan dapat melihat animasi baru daripada Animonsta. Tetapi, perkara ini mungkin mengambil sedikit masa lagi, sebelum diumumkan secara rasminya.


TIPS & ULASAN