Sebelum ini, pelbagai desas-desus berkaitan dengan iPhone berharga murah daripada Apple telah kedengaran, dan kini beberapa info baru berkaitan dengannya mula diketahui, sekaligus memberikan idea awal berkenaan dengan rekabentuk peranti tersebut kelak.
Mengikut apa yang dilaporkan oleh iLounge, iPhone “”Bajet” ini dikatakan akan membawakan kerangka luar berasaskan plastik, selain turut dilengkapi dengan skrin dengan paparan Retina dan juga port Lightning padanya.
Model ini dikatakan akan membawakan gabungan rekabentuk iPhone 5, iPod Touch generasi kelima, dan juga iPod klassik, serta mengekalkan skrin bersaiz 4-inci padanya.
Menurut iLounge, dari segi rekabentuk, pada bahagian hadapan ia akan kelihatan seperti iPhone 5, dan rekabentuk seumpama iPod klasik pada bahagian tepi, serta membawakan rekabentuk seumpama iPod Touch 5G pada bahagian bawah.
Ia masih lagi tidak diketahui sepenuhnya bilakah Apple akan memperkenalkan iPhone “bajet” ini.