Office 2013 Dan Office 365 Home Premium Dilancarkan – Berharga Bermula RM24.99 Sebulan

Office 2013 Dan Office 365 Home Premium Dilancarkan – Berharga Bermula RM24.99 Sebulan

Diterbitkan pada Jan 29, 2013 oleh .

Microsoft hari ini secara rasminya melancarkan Microsoft Office 2013 dan juga Office 365 secara global, sekaligus membuka pembelian secara digital melalui halaman rasmi Office, pada harga langganan bermula RM24.99 sebulan.

Untuk pilihan perisian pejabat Office, Microsoft menawarkan dua bentuk pilihan, iaitu Office 2013 yang boleh dibeli secara terus untuk dipasang pada komputer, ataupun Office 365 yang menawarkan perisian mereka dalam bentuk langganan bulanan.

Office 2013

Office 2013

Office 2013 ditawarkan dalam tiga pilihan, iaitu Office Home & Student 2013 (RM339.99), Office Home & Business 2013 (RM869.99) dan juga Office Professional 2013 (RM1499). Ketiga-tiga ini didatangkan dengan pilihan perisian yang berbeza, dimana selain daripada Word, Excel, PowerPoint dan juga OneNote;

  • Office Home & Business 2013 menyertakan Outlook
  • Office Professional 2013 menyertakan Outlook, Publisher dan juga Access.

Setiap aplikasi pejabat Office 2013 juga boleh dibeli secara berasingan pada harga RM429.99 setiap satu.

Office 365

Office 365

Office 365 Home Premium pula menawarkan set penuh aplikasi pejabat Office, iaitu Word, Excel, PowerPoint, OneNote, Outlook, Publisher dan juga Access pada harga langganan bulanan RM24.99 atau langganan tahunan pada harga RM249.99.

Setiap langganan membolehkan ia digunakan pada lima komputer berbeza, selain dilengkapi dengan ruangan storan tambahan sebanyak 20GB pada SkyDrive, dan juga masa panggilan percuma selama 60 minit melalui Skype.

Kesemua perisian Office 2013 turut sama didatangkan dengan sokongan bahasa Malaysia padanya, memudahkan pengguna tempatan menggunakan dan mengendalikan perisian pejabat daripada Microsoft ini.

Office 2013 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada tengah hari esok, dan kami akan membawakan kemaskini langsung daripadanya.

Sementara itu, mungkin bagi yang berminat, boleh mendapatkannya secara digital, atau mencuba ia secara percuma selama 30 hari dengan melayari laman rasmi Microsoft Office.


TIPS & ULASAN