Lanjutan daripada pengumuman rasmi Microsoft semalam, hari ini, Microsoft Malaysia secara rasminya melancarkan Office 2013 dan juga Office 365 untuk pasaran Malaysia.
Namun, dari segi harga yang diperlihatkan, ia sedikit berbeza dengan harga tawaran melalui web. Menurut pihak Microsoft, ia hanya sekadar harga yang dicadangkan sahaja, dan kemungkinan ia dijual pada harga lebih murah oleh para pengedar dan penjual seluruh negara.
Office 2013 | |
---|---|
Office Home & Student 2013 | RM349 |
Office Home & Business 2013 | RM889 |
Office Professional 2013 | RM1579 |
Office 365 Home Premium | RM259 Setahun (sehingga 5 PC/Mac) |
Office 365 University | RM249 (4 Tahun – 2 PC/Mac) |
Untuk makluman, selain daripada versi digital yang boleh didapati daripada laman web rasmi Office.com, perisian pejabat daripada Microsoft ini juga dikatakan akan turut ditawarkan dalam bentuk fizikal. Tetapi, bilakah ia akan mula ditawarkan masih tidak diketahui sepenuhnya buat masa ini.
Office 365 ditawarkan dalam dua pilihan, iaitu Office 365 Home Premium dan juga Office 365 University. Untuk langganan tahunan ini, ia menawarkan aplikasi utama Office, Outlook, Publisher, Access, serta ruangan storan tambahan sebanyak 20GB melalui SkyDrive, panggilan percuma selama 60 minit melalui Skype, dan juga Office-on-Demand yang membolehkan pengguna menggunakan aplikasi Office melalui sebarang komputer Windows yang disambungkan melalui internet.
Bagi mereka yang tidak inginkan pelbagai fungsi tambahan ini, dan hanya memerlukan perisian Office sahaja, maka anda boleh mendapatkan Office 2013 dalam pilihan Office Home & Student 2013, Office Home & Business 2013 (membawakan penambahan aplikasi Outlook), dan juga Office Professional 2013 (membawakan penambahan Outlook, Access, dan juga Publisher).
Sesiapa yang berminat, mungkin boleh mencuba terlebih dahulu Office 365 Home Premium secara percuma selama 30 hari daripada laman Office.com hari ini.