Sony Mobile yang sedia terkenal dengan tawaran peranti Xperia mereka yang berasaskan Android, hari ini memperkenalkan perkhidmatan baru dinamakan sebagai My Xperia.
My Xperia, secara asasnya merupakan perkhidmatan perlindungan dan sekuriti menggunakan pelayar web, membolehkan pengguna melindungi data peribadi mereka, selain pada masa yang sama mengetahui lokasi semasa peranti Xperia mereka.
Melalui perkhidmatan My Xperia ini, pengguna boleh melihat peranti Xperia mereka pada peta di pelayar web, memainkan bunyi yang kuat pada peranti mereka, mengunci peranti dan melindungi data didalamnya, serta memadam data pada peranti dan kad-SD peranti tersebut.
Perkhidmatan ini dijangka akan diperkenalkan secara berperingkat dalam minggu-minggu akan datang, dan peranti yang akan disokong juga dijangka akan ditambah dalam beberapa minggu akan datang.
Pengguna Xperia kelak akan menerima notifikasi melalui Update Center sebaik sahaja sokongan ini tersedia untuk mereka.