Bagaimana Mendapatkan Windows Phone 7.8 Serta-Merta Hari Ini Untuk Peranti Anda?

Bagaimana Mendapatkan Windows Phone 7.8 Serta-Merta Hari Ini Untuk Peranti Anda?

Diterbitkan pada Feb 2, 2013 oleh .

Windows Phone 7.8 telah pun mula diperkenalkan secara berperingkat sejak beberapa hari yang lepas, membolehkan pengguna Windows Phone 7.5 menerima dan menggunakan beberapa fungsi baru melaluinya.

Terdapat beberapa kaedah untuk mendapatkan kemaskini tersebut serta-merta, dan salah satunya adalah daripada Windows Phone Hacker yang menyediakan sebuah aplikasi khas untuknya.

Kaedah ini tidak mendapat sokongan daripada Microsoft atau pengeluar peranti, dan perlu dilakukan atas risiko sendiri.

Daripada aplikasi khas yang disediakan oleh WPHacker, ia berfungsi sebagai wrapper untuk fail kemaskini Windows Phone, dan menyertakan kesemua kemaskini dan juga pakej bahasa untuknya.

Terlebih dahulu, untuk menggunakannya, pengguna perlu memuat-turun fail tersebut daripada halaman rasmi mereka.

SevenEighter

Muat-Turun Seven-Eighter oleh Windows Phone Hacker

Sebaik sahaja selesai memuat-turunnya, pengguna perlu menjalankannya dengan pilihan sebagai pentadbir pada sistem operasi Windows. Pastikan anda menutup aplikasi Zune terlebih dahulu, dan telah menghubungkan peranti Windows Phone anda ke komputer.

Seterusnya, anda akan diperlihatkan dengan sebuah tetingkap khas, dan diminta membuat pilihan bahasa. Untuk ini, anda boleh memilih bahasa Malaysia.

Pengguna seterusnya akan diminta untuk memuat-turun sebuah program khas berkaitan kemaskini Windows Phone, dan memasangnya pada komputer anda.

Sebaik sahaja selesai semuanya, pengguna boleh memulakan kemaskini, dengan klik pada butang Install WP7.8 di tetingkap aplikasi Seven-Eighter. Seterusnya segalanya akan berjalan secara automatik, dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk selesai.

Daripada percubaan kami, kemaskini perlu dilakukan sebanyak tiga kali sebelum pengguna menerima kemaskini akhir Windows Phone 7.8. Anda boleh memastikannya, dengan melihat skrin boot baru, berwarna biru dengan logo Windows Phone baru padanya.

Windows Phone 7.8

Jadi, bagi anda yang tidak sabar menantikan kemaskini Windows Phone 7.8 pada peranti anda, dan sanggup mengambil risiko, mungkin boleh mencubanya hari ini. Kemaskini Windows Phone 7.8 dijangka akan diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna seluruh dunia bermula minggu ini.

Terima kasih Asri


TIPS & ULASAN