Acer Malaysia semalam telah pun berkongsi mengenai peranti-peranti baru yang akan memasuki pasaran Malaysia, dan salah satunya adalah telefon pintar bajet yang dikenali sebagai Acer Liquid Z120 (turut dikenali sebagai Acer Liquid Z2).
Acer Liquid Z120 ini akan dijual di Malaysia pada harga RM399 bermula daripada bulan Mac ini. Dari segi spesifikasi, ia membawakan cip pemprosesan 1Ghz, memori sebanyak 512MB RAM, ruangan storan sebesar 4GB, skrin sebesar 3.5-inci HVGA, kamera belakang 3-megapixel. Menariknya mengenai telefon pintar ini adalah dimana ia dijana menggunakan Android 4.1 Jelly Bean padanya.
[amanz-gallery]
Dari segi penggunaan, ia berjalan lancar tanpa sebarang masalah, mungkin kerana Project Butter pada Jelly Bean. Namun, ia hanya sekadar daripada ujian penggunaan kami selama beberapa puluh minit, jadi tidak dapat mengujinya dengan memasang pelbagai jenis aplikasi padanya.
Untuk permainan, kami mencuba permainan Subway Surfer pada peranti Acer Z120 ini, dan ia berfungsi tanpa sebarang masalah. Berkemungkinan pelbagai permainan kasual yang lain turut sama akan berfungsi tanpa sebarang masalah padanya.
Pada Acer Z120, walaupun ia menawarkan antaramuka asas Android 4.1 Jelly Bean, pihak Acer turut sama menyertakan beberapa penambahan padanya.
Salah satunya adalah sokongan yang dinamakan sebagai Quick Mode. Fungsi ini membolehkan pengguna mengubah paparan antaramuka lebih menyerupai kepada penggunaan seperti feature phone, sekaligus memudahkan para pengguna yang baru beralih ke telefon pintar menggunakannya tanpa sebarang masalah.
Untuk bahagian kamera pula, selain daripada sokongan rakaman Panorama yang sedia terbina pada Android, Acer juga membawakan penambahan baru, dinamakan sebagai 2.5D. Melalui fungsi ini, ia membolehkan pengguna merakamkan keliling gambar sesuatu objek, dan memaparkannya dalam bentuk seumpama 3D. Secara asasnya, sekiranya Panorama seperti merakamkan gambar “luaran”, untuk 2.5D pula membolehkan pengguna merakamkan gambar secara “dalaman”, sekaligus memudahkan pengguna memperlihatkan sesuatu objek dengan mudah.
Peranti ini akan dijual di Malaysia pada bulan mac 2013 ini, bersama-sama dengan peranti berasaskan cip Intel daripada Acer. Pada harga RM399 semestinya ia menawarkan fungsi-fungsi yang amat menarik, dan daripada apa yang dikongsikan oleh pihak Acer Malaysia, mereka dalam perbincangan bersama pihak SKMM dalam menawarkan ia bersama-sama tawaran potongan rebat RM200.