Setelah beberapa bulan melancarkan peranti tablet yang menggunakan sistem operasi Windows 8 RT – Surface RT, hari ini, Microsoft buat pertama kalinya muncul dengan iklan video model terkini peranti tersebut yang dikenali sebagai Surface Pro.
Daripada apa yang diperlihatkan pada iklan sepanjang 1 minit tersebut, iklan video kali ini memfokuskan kepada pengguna professional dan pengenalan pen stylus pada peranti tersebut. Surface Pro turut membawakan fungsi baru yang dikenali sebagai DisplayPort yang mana membolehkan pengguna untuk menghubungkan peranti Surface Pro kepada sebarang peranti paparan seperti projektor dan monitor.
Seperti semua sedia maklum, berbeza dengan versi Surface RT, untuk Surface Pro ia membawakan sokongan desktop sepenuhnya, membolehkan pengguna melakukan lebih banyak tugas menggunakannya.
Microsoft Surface Pro telah mula dijual pada awal minggu ini namun harga dan tarikh jualan rasmi untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui.