Samsung sedia popular dengan jenama Galaxy yang digunakan untuk peranti Android mereka, dan hari ini, gergasi dari Korea Selatan tersebut turut memperkenalkan siri terbaru telefon mudah-alih mereka, dinamakan sebagai REX.
Samsung REX merupakan nama yang digunakan oleh Samsung untuk siri telefon mudah-alih feature phone daripada mereka, yang mana turut dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri pintar, serta antaramuka popular TouchWiz.
Seperti semua sedia maklum, negara-negara membangun dan ramai pengguna yang meminati feature phone, dimana Nokia melalui Nokia Asha agak popular. Semestinya Samsung tidak ingin ketinggalan dalamnya, dan kini memfokuskan sepenuhnya dengan siri Samsung REX.
Sebanyak empat peranti baru diperkenalkan, iaitu Samsung REX 90, REX 80, REX 70, dan juga REX 60. Setiap peranti membawakan rekabentuk yang berbeza, tetapi mengekalkan ciri-ciri peranti Samsung sebelum ini. Ia turut dilengkapi dengan sokongan mikro-SD, sokongan internet melalui Opera Mini, dan lebih kurang 10 permainan percuma daripada Gameloft.
Samsung REX telah dilancarkan di India sahaja buat masa ini, dan mungkin akan diperluaskan ke pelbagai negara lain tidak lama lagi.