Cari @ Amanz

Sistem kabel dasar laut persendirian milik Telekom Malaysia Berhad, yang dikenali sebagai Cahaya Malaysia telah pun beroperasi sejak daripada tahun lepas, dan kini, ia melengkapkan laluan sambungan kabel tersebut dengan menyambung ke stesen daratan di Hong Kong.

Cahaya Malaysia sebelum ini telah beroperasi sejak daripada bulan Ogos 2012, dimana ketika itu ia hanya disambungkan ke Jepun sahaja. Kini, dengan sambungan ke Hong Kong, laluan sambungannya lengkap, menyambungkan sambungan antara Malaysia-Hong Kong-Jepun.

Selain menyediakan sambungan internet pada kadar latency ultra-rendah, melalui sambungan ini juga menjadi teras utama dalam menghubungkan pusat data milik TM, VADS Data Centre Hong Kong dengan Malaysia dan seluruh dunia.

TM turut berkongsi mengatakan ia sekaligus mengukuhkan industri ICT di Malaysia, disamping pada masa yang sama memenuhi jangkaan keperluan industri serta menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi Hab Pusat Data Serantau menjelang tahun 2015.

Cahaya Malaysia merupakan sistem 2-pasangan-gentian milik TM sepenuhnya di dalam sistem 6-pasangan-gentian Asia Submarine Express (ASE) yang menghubungkan Malaysia ke Jepun, Hong Kong, Filipina dan Singapura yang dibangunkan dengan kerjasama NTT Communications Corporation (NTT Com) dari Jepun, Philippine Long Distance Telephone Company (PLDT) dan Star Hub dari Singapura. Kabel sepanjang 7,800 km ini dibangunkan dengan teliti bermula bulan Januari 2011 untuk memaksimumkan kebolehpercayaan, menahan kerosakan dari gempa bumi dan taufan serta meliputi jarak terpendek ke Jepun.

Menggunakan teknologi transmisi optik digital koheren 40Gbps, Cahaya Malaysia boleh mencapai kapasiti reka bentuk awal sehingga 10Tbps. Teknologi ini membolehkan peningkatan prestasi transmisi gentian optik yang lebih baik dengan menggabungkan pemprosesan isyarat digital berkelajuan tinggi (high-speed digital signal processing; DSP) di dalam komunikasi optikal yang menghasilkan transmisi kapasiti tinggi jarak jauh yang diyakini. Ia juga telah direka untuk menyokong teknologi 100Gbps, yang akan meningkatkan keupayaan reka bentuk dengan ketara pada masa hadapan.

Cahaya Malaysia turut menyediakan sambungan mudah buat para penggunanya dengan memanfaatkan sistem-sistem kabel dasar laut sedia ada yang mendarat di Hong Kong, seperti rangkaian kabel dasar laut Asia America Gateway (AAG), Asia Pacific Cable Network 2 (APCN2), East Asia Crossing-City to City (EAC-C2C), South East Asia-Middle East-Western Europe 3 (SEA-ME-WE3 – SMW3) dan Tyco Global Network-Intra Asia (TGN-IA), yang menghubungkan Hong Kong dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Asia Pasifik lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd