Ura-ura mengenai Chromebook Pixel telah kedengaran beberapa minggu yang lepas, dan kini Google membuat kejutan, dengan mengumumkannya secara rasmi, dan berkongsi mengatakan ia akan mula dijual di pasaran Amerika Syarikat bermula minggu hadapan.
Dari segi spesifikasi, ChromeBook Pixel membawakan skrin bersaiz 12.85-inci dengan paparan 2560×1700 pixel. Perkara ini sekaligus menjadikan skrin Chromebook Pixel membawakan kepadatan pixel pada kadar 239PPI, yang tertinggi pada komputer riba pada hari ini. Ia turut disertakan dengan sokongan skrin sentuh.
Selain itu, ia menyertakan cip pemprosesan Intel Core i5 (dwi-teras 1.8GHz), Intel HD Graphics 4000, memori 4GB DDR3 RAM, 32GB SSD + 1TB Google Drive selama tiga tahun, bateri dengan masa penggunaan aktif sehingga 5 jam. Ciri-ciri tambahan lain termasuk penyertaan beberapa aplikasi khas, termasuk salah satunya adalah QuickOffice padanya.
Seperti semua sedia maklum, ia didatangkan dengan sistem operasi Chrome OS, dan turut disediakan dalam variasi LTE. Versi WiFi akan mula dijual pada minggu hadapan, dan diikuti versi LTE pada bulan April.
Sehingga ke hari ini, ia masih tidak diketahui bilakah Chromebook akan memasuki pasaran Malaysia.