Seperti mana yang tertiris sebelum ini, hari ini, pihak Nokia telah pun mengumumkan dua peranti baru Windows Phone mereka, iaitu Lumia 720 dan juga Lumia 520, yang mana disasarkan untuk mereka yang inginkan peranti pada harga mampu milik.
Lumia 520 membawakan skrin bersaiz 4-inci LCD dengan resolusi 800×480 pixel, memori sebanyak 512MB RAM, cip pemprosesan dwi-teras 1GHz Snapdragon, ruangan storan sebesar 8GB (dengan sokongan mikro-SD), serta kamera belakang 5-megapixel.
Lumia 720 pula dijana menggunakan cip pemprosesan dwi-teras 1Ghz, skrin sentuh 4.3-inci Clear Black dengan resolusi 800×480 pixel, memori sebesar 512MB RAM, dan ruangan storan sebesar 8GB. Ia turut dilengkapi dengan kamera belakang 6.7-megapixel dengan optik Carl Zeiss, serta kamera hadapan 1.3-megapixel.
Harga jualan untuk kedua-dua peranti ini dan bilakah ia akan memasuki pasaran Malaysia masih tidak diketahui buat masa ini.