Cari @ Amanz
  • Info
  • Laporan dari MWC 2013 dibawakan oleh Acer Malaysia khas untuk pembaca Amanz.

Samsung Galaxy Note 8.0 telah pun dilancarkan dan diumumkan secara rasminya pada hari Ahad yang lepas, dan pada MWC 2013 yang diadakan di Barcelona, kami telah berpeluang mengujinya sendiri.

Rekabentuk
Spesifikasi Galaxy Note 8.0
Cip 1.6GHz (empat-teras)
Kamera Belakang 8-Megapixel dengan autofokus
Kamera Hadapan 1.3-megapixel
Storan Terbina 16 / 32 GB
Memori 2 GB RAM
Skrin 8.0-inci (800×1280 pixel)
Bateri 4600 mAh

Seperti dikatakan ramai, rekabentuk peranti Samsung Galaxy Note 8.0 agak mengecewakan, dan tidak membawakan begitu banyak perbezaan berbanding dengan beberapa peranti Samsung pada hari ini.

Berkemungkinan Samsung ingin mengekalkan identiti mereka dengan rekabentuk tersebut, sama seperti yang kelihatan pada Galaxy Note 2, Galaxy S3, malah beberapa peranti Samsung Galaxy baru-baru ini.

Namun, dari percubaan kami, ia sesuai untuk dikendalikan mahupun dipegang menggunakan sebelah tangan ketika membaca. Bagi mereka yang gemar mengambil nota dan sebagainya, berkemungkinan saiz 8-inci lebih sesuai bagi mereka, berbanding dengan saiz 10.1-inci sebelum ini.

Perisian

Samsung Galaxy Note 8.0Pada Samsung Galaxy Note 8.0, ia dijana menggunakan Android 4.1 Jelly Bean, serta didatangkan bersama-sama antaramuka TouchWiz padanya.

Beberapa fungsi baru, seperti sokongan Multi-Window turut disertakan, membolehkan pengguna melihat dua aplikasi pada masa yang sama, sekaligus memudahkan lagi mereka membuat tugasan mereka dengan lebih efektif.

Selain itu, salah satu penambahan yang turut disertakan adalah sokongan baru dinamakan Reader Mode. Melaluinya, skrin dioptimasikan untuk memudahkan pengguna membaca artikel menggunakan tablet tersebut. Pengguna juga disediakan dengan panel kawalan khas, membolehkan mereka memilih aplikasi yang ingin digunakan bersama dan sebagainya.

Galaxy Note 8.0 turut sama dilengkapi dengan dengan IR Blaster, membolehkan pengguna mengawal beberapa peranti seperti televisyen dan sebagainya menggunakan transmisi berasaskan Infrared. Aplikasi Peel turut didatangkan terbina bersama-sama dengannya.

Beberapa aplikasi popular lain daripada Samsung turut disertakan, termasuk sokongan S-Voice walaupun ia didatangkan terbina dengan sokongan Google Now.

S-Pen

Sokongan S-Pen terus ditambah-baik oleh Samsung, dimana pada Galaxy Note 8.0, beberapa sokongan baru ditambahkan padanya.

Salah satunya adalah dimana kini S-Pen turut boleh digunakan dalam mengendalikan butang utama seperti untuk kembali ke halaman sebelumnya dan juga butang menu.

Selain itu, beberapa aplikasi baru turut didatangkan dengan sokongan S-Pen, dimana salah satunya adalah Flipboard. Kini, pengguna boleh hover S-Pen pada Flipboard dan melihat kandungannya dipaparkan, sama seperti yang terdapat pada bahagian galeri dan lain-lain sebelum ini.

Seperti pada Galaxy Note 10.1, tablet Galaxy Note 8.0 juga turut sama membawakan sokongan untuk membuat panggilan suara dan juga panggilan video, membolehkan pengguna menggunakan tablet bersaiz 8.0-inci ini untuk tujuan komunikasi dengan lebih efektif.

Penutup

Buat masa ini, ia masih lagi tidak diketahui bilakah peranti ini akan dijual di pasaran Malaysia.

Semestinya sekiranya anda ingin hanya mendapatkan tablet biasa sahaja, mungkin Galaxy Note 8.0 mungkin bukan pilihan yang sesuai, memandangkan terdapat beberapa tablet lain dengan lebih banyak pilihan. Namun, sekiranya anda memerlukan tablet dengan sokongan stylus dan juga kebolehan membuat panggilan, mungkin Galaxy Note 8.0 merupakan salah satu peranti yang bersesuaian dengan anda.

Samsung Galaxy Note 8.0

  • Info
  • Laporan dari MWC 2013 dibawakan oleh Acer Malaysia khas untuk pembaca Amanz.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd