WhatsApp boleh dikatakan salah satu aplikasi yang popular dikalangan pengguna peranti mudah-alih, dan kini salah seorang pembangun bebas dalam usaha membangunkan sebuah klien khas untuk Ubuntu Phone, yang dipanggil WhosThere.
Ia dikatakan dibangunkan berasaskan kepada beberapa kod pembangunan sumber-terbuka WhatsApp untuk N9, disamping menggunakan bahasa pengaturcaraan C++/QML/Javascript.
Buat masa ini, ia boleh dikatakan masih pada peringkat awal pembangunan, dan hanya segelintir fungsi sahaja yang boleh digunakan, termasuk menghantar dan menerima mesej berbentuk teks, dan mendaftarkan nombor mudah-alih ke WhatsApp.
Memandangkan peranti yang menggunakan Ubuntu Phone hanya dijangka akan dilancarkan sekitar bulan Oktober kelak, maka mungkin ketika pelancarannya nanti semuanya telah lengkap dibangunkan dan sedia digunakan semua.
Apa pun, sekiranya anda ingin menyumbang dalam pembangunan WhosThere, anda boleh menyertainya melalui halaman Launchpad yang disediakan pembangunnya.