Amanz Di MWC 2013 – Terima Kasih Acer Malaysia

Amanz Di MWC 2013 – Terima Kasih Acer Malaysia

Diterbitkan pada Mac 8, 2013 oleh .

Media berbahasa Malaysia di MWC 2013Pada minggu lepas, salah satu acara tahunan yang dinantikan ramai telah berlangsung, iaitu Mobile World Congress 2013, diadakan di Barcelona. Kami di Amanz telah berpeluang untuk berkunjung ke sana, terima kasih kerana sokongan pihak Acer Malaysia untuk menjayakannya.

Amanz MWC 2013

Seperti semua sedia maklum, pada MWC 2013, beberapa peranti baru telah diperlihatkan, termasuk pengenalan Galaxy Note 8.0 oleh Samsung, pengenalan tablet Android pertama oleh HP – HP Slate 7.0, Huawei yang hadir dengan Ascend P2, selain beberapa perkara yang lain.

Acer juga turut tidak ketinggalan dalam memperlihatkan tablet, komputer riba dan juga telefon pintar mereka, termasuk Acer Liquid E1, Liquid C1 dan Z2, selain mula kedengaran ura-ura mengatakan Acer akan hadir dengan phablet mereka sendiri tidak lama lagi.

Bercakap mengenai MWC 2013 sendiri, kami tiba ke sana pada hari Isnin, 25 Februari, dimana ketika itu, pelbagai pengumuman peranti telah dilakukan. Ketibaan yang lewat, dan masalah kekangan internet pada awalnya membuatkan kami tidak berupaya untuk mengemaskini artikel dalam bentuk masa nyata. Disamping itu, ia kelihatan pihak media antarabangsa mempunyai akses mereka yang berbeza, membolehkan mereka mendapat akses peranti lebih awal sebelum ia diumumkan.

Amanz MWC 2013

Selain itu, kami juga berpeluang mempelajari bagaimana media-media antarabangsa membuat tugasan dan mencapai kemaskini masa-nyata. Berbeza dengan dari Amanz yang hanya seorang sahaja ke sana, untuk media-media lain, seperti CNet, Engadget dan lain-lain, kelihatan terdapat sebuah pasukan yang membuat tugasan masing-masing, termasuk seorang untuk pengeditan, seorang untuk penulisan, seorang untuk rakaman gambar, dan video, serta lain-lain.

Amanz MWC 2013

Dalam pelbagai pengeluar, ramai yang menerima kami dengan baik, malah memberikan peluang untuk kami bermain dengan peranti. Memandangkan kami dibawa oleh pihak Acer Malaysia, maka kami dipelawa dengan baik apabila ke sana.

Selain daripada Acer, pihak Jolla juga perlu diberikan pujian dalam memberikan penerangan kepada mereka yang melawati mereka. Namun, kami agak sedikit dukacita dengan pihak Mozilla, yang kelihatan amat sukar untuk memberikan peluang untuk pihak media mencubanya. Kami sendiri mengambil masa sehingga 3 hari sebelum dapat berpeluang mencubanya, manakala rakan kami, SoyaCincau kelihatan tidak berpeluang untuknya.

Walaubagaimanapun, segalanya berjalan lancar, dan kini kami telah kembali ke tanah air. Terima kasih diucapkan sepenuhnya kepada pihak Acer Malaysia, dan mungkin sekiranya berpeluang, pada tahun hadapan kami akan merancang liputan MWC mahupun CES dengan lebih baik lagi.

Kami juga mengambil peluang ini untuk memohon maaf sekiranya kekurangan kemaskini di laman ini sepanjang minggu lepas.


TIPS & ULASAN