Cari @ Amanz

Sony Xperia Z telah pun mula dijual sejak beberapa hari yang lepas di Malaysia. Peranti sebesar 5 inci ini ialah antara peranti Android yang terawal mempunyai paparan skrin HD penuh serta kemampuan kalis air yang menakjubkan. Adakah penggunaan skrin HD penuh dan kemampuan kalis air ini alasan yang munasabah untuk anda memilikinya? Sila baca ulasan kami untuk jawapan kepada soalan di atas.

Spesifikasi Sony Xperia Z
Cip 1.5GHz (empat-teras) Snapdragon S4
Kamera Utama 13.1 Megapixel dengan Exmor RS
Kamera Hadapan 2.2 Megapixel
Storan Terbina 16 Gigabyte dengan sokong Mikro SD
RAM 2 Gigabyte
Skrin 5 inci  LCD HD Penuh
Bateri 2330 mAh

Dari segi fizikal peranti terkini dari Sony ini mengekalkan rekabentuk berkotak yang sebelum ini kita lihat pada Xperia ION dan Xperia P.  Seperti Nexus 4, Xperia Z mempunyai bahagian belakang yang diperbuat daripada kaca. Bahagian kemasan tepi pula diperbuat daripada plastik.  Benda pertama yang anda sedari apabila memegang peranti ini ialah ketiadaan port yang terbuka. Kesemua port dari mikro USB, fon kepala, SIM dan slot MikroSD peranti ini terselindung di belakang penutup plastik. Penutup-penutup plastik ini adalah perlu bagi memastikan komponen dalaman Xperia Z tidak akan dimasuki air ataupun debu. Menurut Sony, Xperia Z mampu direndamkan di dalam air sehingga 1 meter selama  30 minit tanpa mengalami sebarang kerosakan. Secara keseluruhan kualiti kemasan dan rekaan Xperia Z adalah amat baik dan membuatkan ianya kelihatan premium.

Kelemahan yang kami temui ialah pada rekaan penutup plastik untuk fon kepala dan mikro USB. Sekiranya anda menggunakan fon kepala, penutup plastik ini akan terjuntai keluar dan kelihatan kurang kemas. Tambahan lagi jika anda tidak membeli aksesori dok pengecas, anda perlu membuka penutup plastik ini setiap kali melakukan pengecasan dan ini agak menyusahkan.

Set Malaysia tidak didatangkan dengan dok seperti set antarabangsa, dan perlu dibeli secara berasingan.Kami mengesyorkan anda membeli dok pengecas Xperia Z dan fon kepala Bluetooth bagi mengurangkan kesusahan membuka serta menutup penutup plastik yang sedia ada. Selain daripada itu rekaan tubuh peranti yang agak berkotak membuatkan ianya kurang selesa untuk dipegang. Pada hemat kami rekaan bahagian belakang yang sedikit melengkung seperti HTC One adalah jauh lebih selesa untuk dipegang.

[amanz-gallery]

Butang kuasa yang ergonomik dan menjadi simbolik untuk rekaan Sony tahun 2013 ini.Pada bahagian kanan terdapat butang suara, pembesar suara dan butang kuasa. Kami cukup menggemari rekaan dan kedudukan butang kuasa peranti ini kerana ianya amat ergonomik. Kedudukan butang kuasa pada bahagian tengah sebelah kanan peranti memudahkan proses mematikan serta menghidupkan peranti. Mengapakah butang kuasa kesemua peranti  pintar yang ada di luar sana tidak pernah direka seperti ini sebelum ini? Kami tidak tahu tetapi kami tidak akan terkejut sekiranya rekaan Sony ini akan menjadi ikutan pengeluar peranti pintar yang lain di masa akan datang.  Pembesar suara pada bahagian kanan juga satu lagi rekaan yang pintar dari Sony. Sebelum ini kebanyakkan peranti meletakkan pembesar suara pada bahagian belakang mengakibatkan bunyi yang keluar agak tenggelam. Pada Xperia Z bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suaranya amat jelas kerana lokasinya pada bahagian kanan. Bunyi yang dihasilkan tidak dilontarkan ke belakang jauh dari telinga pendengar. Sony jelas melaburkan banyak masa bagi memastikan Xperia Z mempunyai rekaan industri yang paling mesra prengguna di pasaran sekarang.

Skrin TFT 5 inci Xperia Z mempunyai paparan HD penuh seperti yang ada pada HTC Butterfly dan HTC One.  Kepadatan pixel skrin Xperia Z adalah setaraf dengan HTC Butterfly (441 PPI) tetapi kurang sedikit dari yang ada pada HTC One (469 PPI). Sungguhpun begitu perbezaan kecil dari segi kepadatan pixel ini tidak akan disedari majoriti pengguna disana.

Kami mendapati paparan warna pada skrin kurang menyerlah jika dibandingkan dengan HTC Butterfly yang merupakan pencabar terhampirnya di pasaran Malaysia buat masa ini.

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaAntaramuka Timescape yang digunakan pada peranti Sony sebelum ini diberikan nafas baru.  Meletakkan widget dan pintasan kepada aplikasi adalah lebih mesra pengguna. Apabila ada melakukan aksi pinch-in, anda akan dibawakan kepada antaramuka yang memaparkan logo widget, aplikasi, pilihan latar belakang dan pilihan tema telefon. Pada versi Timescape sebelum ini kesemua widget yang ada akan terawang-awang pada skrin peranti dan ini menyukarkan anda untuk melakukan perubahan pada home screen dan sebagainya.  Perubahan yang dilakukan kali ini membuatkan penggunaan Android pada peranti Sony lebih menyamai penggunaan pada peranti Android yang lain. Keselarian ini memudahkan pemilik Xperia Z untuk menggunakannya tanpa perlu belajar semula bagaimana menggunakan peranti baru mereka.

Selain daripada itu apabila butang multi tasking ditekan, anda boleh melancarkan aplikasi mini yang diberi nama SmallApps oleh Sony. SmallApps adalah aplikasi kecil yang apabila dilancarkan akan muncul pada tingkap kecil yang boleh dialih mengikut keperluan pengguna. Aplikasi jam randik, mesin kira-kira, nota dan perakam audio adalah antara small apps yang sudah terbina. Jika anda biasa menggunakan antaramuka Touchwiz, SmallApps bolehlah dikatakan aplikasi mini Samsung versi Sony. Anda boleh menambah SmallApps yang sedia ada tetapi pilihan yang ada setakat ini adalah agak kecil. Pada hari artikel ini ditulis hanya terdapat 29 small apps yang boleh dimuat turun dari Google Play Store.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Kamera

Xperia Z dilengkapi kamera utama sebesar 13.1 Megapixel dan 2.2 Megapixel pada bahagian hadapan. Kedua-dua kamera ini mampu mengambil video pada resolusi HD penuh. Kamera utamanya juga mampu memgambil video di dalam mod HDR.  Gambar yang diambil adalah jelas dan cukup tajam kerana menggunakan sensor Exmor RS yang mampu menganalisa imej yang diambil bagi menentukan tetapan mod gambar yang diambil. Kemampuan menetapkan mod gambar yang diambil ini benar-benar memudahkan pengguna mengambil gambar tanpa perlu melakukan tetapan secara manual.

Gambar pada keadaan pencahayaan rendah juga terang berbanding pesaing yang lain kecuali HTC One. Kami pernah melakukan perbandingan gambar yang diambil dari Xperia Z berbanding HTC One sebelum ini dan ianya boleh dilihat pada artikel pandang pertama kami sebelum ini.

Di bawah ialah perbandingan gambar yang diambil menggunakan Xperia Z dan HTC One X+ yang sempat kami rakamkan. Jelas sekali gambar yang diambil menggunakan Xperia Z lebih terang. tajam dan mempunyai warna yang lebih hidup.  Sila klik gambar di bawah untu melihatnya pada resolusi penuh.

XPERIA-ONEX1

XPERIAAZ-real-reso2

Kelemahan kamera Xperia Z adalah jika anda ingin mengambil banyak gambar menggunakan burst mode, anda perlu menukar mod secara manual. Ini berbeza dari kamera Nexus dan HTC yang membenarkan anda mengambil banyak gambar secara berturutan dengan menekan butang pemetik secara berterusan.  Butang kamera khas yang sebelum ini wujud pada peranti-peranti Sony juga tidak ada pada Xperia Z. Antara sebab kami menggemari rekaan telefon pintar Sony sebelum ini ialah kewujudan butang kamera khas ini.  Akhir sekali seperti kesemua video yang diambil menggunakan peranti mobil, video yang diambil menggunakan Xperia Z mempunyai masalah rolling shutter yang ketara.

 

Penanda Aras

Seperti biasa penanda aras Quadrant dan Antutu dilakukan terhadap peranti ini. Buat masa ini Xperia Z mempunyai markah penanda aras tertinggi dalam sejarah ulasan Amanz.my.  Pada penanda aras Quadrant ia mendapat 7877 markah manakala pada penanda aras Antutu pula ia mendapat 20838 markah. Bedasarkan markah yang diterima, Xperia Z mempunyai kemampuan yang lebih tinggi dari LG Nexus 4 dan HTC Butterfly. Beberapa minggu yang lalu penanda aras untuk Samsung Galaxy S4 tertiris ke laman web tetapi kami tidak akan membandingkan markah S4 dengan Xperia Z buat masa ini kerana ianya bukan ujian penanda aras yang boleh kami sahkan buat masa ini.

xperia-z-penanda-aras

Bateri

Ketahanan bateri adalah antara kriteria utama sebelum membeli sesebuah peranti terutamanya di Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum akibat ketidak-stabilan sistem telekomunikasi selular negara kita, jangka hayat bateri peranti di Malaysia menjadi agak pendek. Kami menggunakan Xperia Z di dalam tiga mod berbeza iaitu ringan, sederhana dan tinggi. Keputusan ujian kami boleh anda lihat di bawah.  Seperti yang dijangka hayat bateri Xperia Z adalah agak pendek kerana penggunaan skrin HD penuh dan bateri hanya sebesar 2330 mAh sahaja. Ini adalah berita buruk bagi mereka yang mahukan peranti yang mampu bertahan lama. Sungguhpun begitu masa untuk mengecas semula bateri Xperia Z adalah lebih pantas dari kebanyakan peranti di pasaran sekarang.

xperia-Z-prestasi-bateri

Kesimpulan

Sony Xperia Z ialah antara peranti terbaik yang boleh anda miliki sekarang kerana kualiti binaannya yang dan kemampuan kalis airnya.  Kemasan plastik pada bahagian tepi pula lembut dipegang dan berfungsi sebagai penyerap hentakkan sekiranya peranti ini terjatuh. Kami cukup menggemari rekaan butang kuasa, butang suara dan kedudukan pembesar suara yang kesemuanya terletak pada bahagian kanan peranti. Pada peranti lain kedudukan butang kuasa adalah pada bahagian atas dan bagi peranti yang mempunyai skrin yang lebih besar dari 4.5″, ini menyukarkan ianya dari ditekan dengan menggunakan sebelah tangan. Kedudukan pembesar suara pada bahagian tepi juga memastikan suara pemanggil kedengaran lebih jelas apabila anda menggunakan fungsi speaker phone. Antaramuka Timescape yang diberi rekaan baru juga jauh lebih mudah digunakan kerana mesra pengguna.

Kamera Xperia Z mampu mengambil gambar dengan kualiti yang memuaskan tetapi masih belum mampu menandingi kamera Ultrapixel yang ada pada HTC One. Ini pernah kami paparkan dalam artikel pandang pertama kami. Sungguhpun begitu bagi tujuan mengambil gambar untuk laman media sosial kualiti yang sedia ada sekarang sudah cukup memandai. Kamera Xperia Z juga mampu melakukan tetapan mod gambar yang ingin diambil secara automatik. Sebagai contoh sekiranya gambar diambil dalam suasana gelap, kamera akan secara automatik mengaktifkan mod pencahayaan rendah. Kami cuma terkilan gambar yang diambil pada resolusi 13 Megapixel tidak boleh diambil pada nisbah 16:9 . Satu lagi perkara yang kurang memuaskan ialah mod mengambil banyak gambar pada satu-satu masa harus diaktifkan secara manual dan tidak hanya dengan menekan butang pemetik kamera secara berterusan. Fungsi ini sudah ada pada peranti Ice Cream Sandwich Nexus dan HTC. Diharap pada kemasan perisian Xperia Z yang akan datang fungsi ini boleh diaktifkan. Seperkara lagi Xperia Z tidak dilengkapi butang kamera khas seperti peranti Sony sebelum ini seperti Xperia ION. Kami rasakan butang kamera khas amat berguna dan memudahkan penggunaan kamera. Agak rugi ianya tidak diletakkan pada Xperia Z.

Tidak banyak perkara negatif yang boleh kami tulis tentang Xperia Z kerana ianya sudah hampir sempurna. Yang paling menghampakan kami ialah hayat bateri yang masih agak lemah. Ini sudah pasti akibat penggunaan skrin HD Penuh dan saiz bateri yang agak kecil.

Jika anda mahukan peranti yang mempunyai binaan yang berkualiti, susunan butang ergonomik, kalis air dan kamera yang baik kami rasakan Xperia Z ialah peranti yang anda cari. Ia mampu memenuhi segala keperluan harian anda.

PRO dan Kelebihan
  • Mempunyai kemasan dan bahan binaan yang baik. Xperia Z mempunyai kualiti binaan yang tinggi dan terasa seperti sebuah peranti premium
  • Tahan air dan debu. Xperia Z memang direka untuk negara tropika seperti Malaysia di mana hujan lebat boleh turun secara tiba-tiba. Kini anda tidak perlu risau sekiranya peranti anda basah
  • Antaramuka Timescape baru yang lebih mesra pengguna berbanding versi sebelumnya. Kini fungsi asas Xperia lebih menyerupai stock Android.
  • Rekaan butang kuasa dan suara yang ergonomik.
  • Kemampuan mengambil video dalam mod HDR. Video yang diambil kini mempunyai kualiti yang lebih dinamik
  • Kamera yang mampu memilih mod gambar yang harus diambil secara automatik tanpa pengguna melakukan tetapan mod secara manual.
KONTRA dan Kekurangan
  • Rekaan berkotak agak kurang selesa untuk dipegang. Panel belakang berkaca adalah rata dan tidak melengkung bagi memberikan keselesaan ketika memegang
  • Anda harus memiliki dok pengecas dan fon kepala NFC bagi memudahkan penggunaan. Panel kalis air harus dibuka agak melecehkan sekiranya anda tidak membeli dua aksesori ini.
  • Kamera 13MP hanya mengambil gambar pada nisbah 4:3 dan bukannya 16:9
  • Terdapat sedikit masalah sela masa jika menggunakan papan kekunci pada kelajuan yang pantas.
  • Jangka hayat bateri yang agak pendek. Bateri yang terbina sepatutnya lebih besar kerana skrin 5″ beresolusi HD penuh Xperia Z paling banyak memakan bateri. Pastikan anda membeli power-bank jika anda mahu menggunakan peranti ini untuk masa yang lebih lama.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd