BitTorrent sejak awal tahun ini telah memperkenalkan beberapa perkhidmatan baru mereka, dan terkini, mereka turut sama memperkenalkan perkhidmatan yang dinamakan sebagai BitTorrent Live, membolehkan teknologi P2P digunakan untuk tujuan siaran langsung melalui internet.
Ia dikatakan projek ini telah dibangunkan sejak beberapa tahun yang lepas, dan kini ia sedia dalam bentuk beta terbuka, membolehkan sesiapa sahaja mencubanya.
Untuk menggunakannya, para pengguna perlu memasang sebuah plugin khas, dan dikatakan lengah masa yang dialami selalunya hanya sekitar lima saat antara satu siaran dan yang lain.
Salah satu kelebihan yang ditawarkan melalui BitTorrent Live ini adalah dari segi kos. Ini adalah kerana ia berasaskan kepada teknologi P2P, maka tidak memerlukan kos yang tinggi untuk infrastruktur dan sebagainya, malah sesuai untuk digunakan sama ada secara kecilan mahupun besar-besaran.
Buat masa ini, beberapa saluran telah pun tersedia pada laman BitTorrent Live, membolehkan pengguna mengujinya, ataupun hadir sendiri dengan saluran anda tersendiri melalui perkhidmatan tersebut.