Cari @ Amanz

Bersama-sama dengan Galaxy S3, Samsung telah menyertakan sokongan yang dinamakan sebagai Smart Stay. Pada Galaxy S4 pula, Samsung menambah pelbagai perkara baru, menjadikan peranti terbaru daripada Samsung ini lebih mudah untuk dikendalikan.

Galaxy S4 - AirView

Air View merupakan salah satu sokongan pintar yang disertakan bersama-sama peranti ini. Bagi mereka yang pernah terlihat Galaxy Note 2, mungkin sedia maklum mengenainya, dimana pengguna boleh melihat kandungan tanpa perlu membuka sesuatu aplikasi ataupun fail. Sokongan ini kini disertakan pada Galaxy S4, dan pengguna boleh mengawalnya menggunakan jari, tanpa peranti tambahan seperti S-Pen dan sebagainya.

Selain itu, Samsung turut menyertakan sokongan yang dinamakan sebagai Smart Pause. Smart Pause ini membolehkan peranti mengetahui sama ada pengguna melihat peranti berkenaan ataupun tidak, dan seterusnya mengawal apakah yang diperlihatkan pada peranti tersebut. Sebagai contoh sekiranya memainkan video, apabila pengguna tidak melihat skrin, video berkenaan dihentikan secara automatik.

Smart Scroll turut disertakan dimana membolehkan pengguna melihat dan mentatal kandungan dengan hanya mengawalnya menggunakan gerakan pergelangan tangan dan juga mata. Perkara ini sekaligus memudahkan pengguna untuk melihat lebih kandungan dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja.

Beberapa fungsi lain yang disertakan pada Samsung Galaxy S4 adalah termasuk sokongan yang dinamakan Air Gestures, selain mana turut membolehkan pengguna mengawal dan menggunakan peranti walaupun menggunakan sarung tangan, sesuai untuk negara-negara yang bercuaca sejuk.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd