Dengan beberapa perubahan yang diumumkan oleh Facebook selama dua minggu ini, kini ia kedengaran yang mana laman sosial gergasi ini kelak akan turut sama mengintegrasikan sokongan hashtag seumpama yang terdapat pada Twitter.
Buat masa ini, ia dikatakan Facebook masih dalam proses ujian berkenaan bagaimana ingin mengintegrasikan sokongan tersebut. Di Twitter, sokongan hashtag digunakan untuk mengkategorikan sesuatu berita itu, sekaligus memudahkan pengguna melihat perkembangan semasa sesuatu topik itu dengan lebih mudah.
Perkhidmatan Instagram yang diambil-alih oleh Facebook pada tahun lepas juga turut sama menggunakannya dalam mengkategorikan gambar.
Semestinya sekiranya Facebook mengimplementasikan sokongan ini, ia akan memudahkan lagi pengguna mengikuti sesuatu topik pada perkhidmatan mereka, dan pada masa yang sama memudahkan seseorang pengiklan memperlihatkan iklan mereka berdasarkan kepada topik pilihan mereka.
Selain Twitter dan juga Instagram, beberapa perkhidmatan lain turut sama menggunakan fungsi hashtag, termasuk salah satunya adalah Google+.