Mungkin minggu ini agak mengembirakan untuk para pengguna peranti BlackBerry 10, dimana selepas pelancaran aplikasi WhatsApp tempoh hari, kini aplikasi navigasi sosial, Waze turut sama hadir dan tersedia untuk para pengguna BlackBerry 10.
Bagi yang tidak kenali akan aplikasi Waze, ia merupakan salah satu aplikasi yang memfokuskan kepada navigasi dan pemetaan, tetapi dengan integrasi sosial, membolehkan pengguna mengetahui keadaan trafik semasa dan pelbagai halangan di jalan raya.
Daripada penggunaan awal, ia kelihatan Waze ini bukanlah versi natif, tetapi diubah daripada versi Android kepada BlackBerry 10. Kami hanya berjaya mengaksesnya sepenuhnya selepas dua tiga kali mencuba aplikasi berkenaan. Mungkin ia masih pada peringkat awal, dan akan diperbaiki pada versi akan datang.
Seperti biasa, aplikasi ini disediakan secara percuma di BlackBerry World, dan bagi mereka yang berminat, boleh memuat-turunnya secara percuma hari ini.