Cari @ Amanz

Dengan pelancaran Samsung Galaxy S4 tempoh hari, kita sudah dapat melihat beberapa ura-ura dan laporan awal mengenai telefon pintar Nexus mula kedengaran. Lanjutan daripada ura-ura sebelum ini, kini laporan awal mengatakan telefon pintar Nexus 5 kelak akan menyertakan teknologi kamera daripada Nikon.

Kesahihan perkara ini tidak diketahui lagi. Tetapi, sebelum ini, pihak Google sendiri pernah mengatakan mereka akan lebih memfokuskan pada bahagian kamera dan fotografi pada peranti Nexus baru.

Selain daripada itu, berbanding spesifikasi yang tertiris sebelum ini yang seperti sukar untuk dipercayai, laporan terkini turut mengatakan ia adalah tidak tepat, dan Nexus 5 dikatakan akan menyertakan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan HD, memori 2GB RAM, cip pemprosesan Snapdragon 600, dan bateri berkapasiti 3140 mAh pada peranti berkenaan.

Dengan pelbagai platform pintar yang menawarkan fungsi lebih kurang sama pada hari ini, salah satu ciri-ciri yang diberikan perhatian pengguna adalah kamera dan juga bateri. Mungkin dengan Nexus 5 kelak, Google akan memberikan perhatian kepada kedua-duanya, dan memberikan peranti Nexus terbaik daripada mereka.

Seperti biasa, ia hanya sekadar desas-desus dan ura-ura awal sahaja. Mungkin kita akan mendengar lebih banyak lagi laporan berkaitan dengannya dengan tarikh Google IO yang bakal menjelang tiba.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd