Carian
Bersama Animasia Studio – Ulasan Pratonton Bola Kampung The Movie
March 22, 2013 Aman

Animasia Studio merupakan salah satu studio animasi tempatan yang telah beroperasi sejak tahun 2005 yang lepas. Salah satu siri animasi mereka yang popular adalah Bola Kampung, dimana ia merupakan animasi siri televisyen yang dimulakan pada tahun 2006, dan kini telah melangkah setapak kehadapan dengan hadir dalam bentuk filem.

Bola Kampung The MovieAnimasia Studio sendiri, selain daripada Bola Kampung, turut sama mempunyai beberapa animasi yang lain, termasuk Supa Strikas, Chuck Chicken, ABC Monsters, Harry & Bunny dan beberapa yang lain. Selain animasi sahaja, mereka turut sama menawarkan aplikasi mudah-alih, dimana baru-baru ini telah melancarkan permainan Bola Kampung : RoboKicks untuk pengguna Android dan juga iOS.

Siri animasi Bola Kampung sendiri telah disiarkan di kaca televisyen untuk beberapa musim, selain turut hadir dalam variasi Bola Kampung X. Selain ditayangkan di RTM1 dan juga TV9, siri animasi ini juga turut sama ditayangkan di saluran Disney Channel dengan nama Football Kids.

Untuk animasi stereoskopik 3D ini, pihak Animasia Studio telah bekerjasama dengan pihak Young Jump Animation dimana Bola Kampung ini dikatakan telah dalam pembangunan lebih 4 tahun. Bola Kampung The Movie ini dikatakan menelan belanja lebih kurang RM6 juta dan ini juga merupakan animasi pertama daripada pihak Animasia yang hadir dalam bentuk filem. Pihak Animasia turut mengatakan mereka akan hadir dengan beberapa filem animasi yang lain selepas ini.

Sinopsis: Amanda, seorang puteri Kingdom Hill muncul di Kampung Gong Lechar untuk mencari Perwira Suria yang mampu menamatkan krisis di Kingdom Hill. Pada mulanya Iwan, Sabok & Azizul tidak mempercayainya apabila Amanda mengatakan yang merekalah Perwira Suria sehinggalah muncul askar Lord Vilus yang memburu Amanda dan membawanya pulang ke Kingdom Hill, bersama-sama Iwan, Sabok & Azizul. Dapatkah Iwan, Sabok & Azizul melepaskan diri dari dunia permainan komputer disamping menyelamatkan Kingdom Hill?

Pandangan Selepas Menonton
  • Dari segi jalan cerita, ia agak menarik dan tidak tipikal. Penonton dibawa mengembara ke alam Kingdom Hill, Kampung Gong Lechar, dan juga penonton diberikan beberapa sub-cerita seperti kumpulan Mad Mid Mud yang membuli mereka.
  • Jika dinilai dari kesesuaian lawak, lawak yang dihasilkan oleh setiap watak bukan lawak murahan, seperti contoh Raja Medika mengatakan beliau tidak mempunyai masa yang cukup kerana ‘loading time’ adalah singkat.
  • Walaupun banyak penaja dan terdapat imej jenama-jenama besar seperti KFC, Hari-Hari, Asadi dan lain-lain, ianya tidak dilakukan dengan kerap dan iklan sebegini tidak mengganggu.
  • Penggunaan artis dilihat sangat menghidupkan karekter. Seperti yang dikatakan oleh Afdlin Shauki, beliau terpaksa mencari ke-Sabok-an didalam dirinya.
  • Beberapa pergerakkan watak dalam beberapa keadaan boleh dikatakan agak pelik.
  • Ketika babak lawan antara Raja Medika dan Askar Vilus, boleh dikatakan kesan audio agak kurang, selain mana masa babak lawan antara raja dan askar kelihatan agak singkat.

Seperti biasa, setiap filem dan animasi yang dihasilkan semestinya terdapat kelebihan dan kekurangan mereka tersendiri, dan sama juga untuk animasi Bola Kampung The Movie ini. Jadi, bagi anda yang telah sedia menonton filem Bola Kampung The Movie ini, jangan lupa berkongsi pandangan anda, dan bagi anda yang belum lagi, mungkin boleh menontonnya di pawagam berdekatan anda hari ini.

Bola Kampung The Movie


Komen