Carian
Apakah Itu Creative Commons?
March 24, 2013 Aman

Creative Commons membolehkan pengguna membangunkan dan memaksimakan kreativiti digital mereka, dan berkongsi dengan lain dan mengalakkan inovasi antara satu sama lain.Dengan perkembangan dunia internet, kandungan yang mula dihasilkan oleh pengguna seluruh dunia juga meningkat dari hari ke hari. Dan dalam usaha untuk mengawal hak cipta pemilik terhadap kandungan, salah satu organisasi yang menyediakan beberapa lesen hak cipta untuk pemilik asal adalah Creative Commons.

Melalui pilihan pelesenan yang disediakan oleh Creative Commons, ia membolehkan pemilik sesuatu kandungan berkongsi hasil kerja mereka, seperti gambar, video, grafik, teks, dan sebagainya untuk digunakan oleh sesiapa sahaja, dan pada masa yang sama memberikan kredit hak cipta kepada pemilik asal.

Creative Commons menawarkan kepada orang ramai satu set lesen hak cipta secara percuma dan lesen-lesen ini akan membantu pencipta atau pemegang lesen memberitahu dunia apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan berkaitan kerja mereka yang telah dihakciptakan.

Ia terutamanya bagi kerja-kerja yang dipamerkan di Internet dan ia boleh dalam sebarang bentuk seperti rakaman video, rakaman audiovisual, rakaman muzik, imej, video, teks atau rekaan interaktif.

Creative Commons yang diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 2006 ini turut sama menerima sokongan ramai pihak, termasuk MDeC daripada Malaysia sendiri. Sekiranya perasan, kebanyakkan laman web berbentuk perkongsian menyediakan sokongan perkongsian menggunakan lesen Creative Commons, termasuk di YouTube, Flickr, SoundCloud, Vimeo dan banyak lagi.

Bagaimana Creative Commons membantu anda?

Dengan menggunakan pelesenan Creative Commons pada hasil karya anda, ia memberikan fleksibiliti untuk pengguna lain dalam berkongsi karya anda bersama yang lain, disamping pada masa yang sama mengekalkan apa yang ditetapkan oleh anda. Ia sekaligus membantu dalam beberapa bidang, terutamanya dalam bidan pendidikan, disamping membolehkan hasil karya anda dicapai oleh lebih ramai pengguna seluruh dunia.

Disamping itu, apabila anda ingin membangunkan sesuatu kandungan, sebagai contoh sekiranya ingin hadir dengan sebuah video, anda boleh menggunakan lagu latar atau grafik yang dilesenkan oleh pengguna lain, dan melaluinya kedua-dua pihak mendapat keuntungan. Sebagai contoh, video anda akan mendapat lagu latar yang menarik, manakala pemilik lagu asal mendapat lebih capaian dengan lagu hasil mereka didengari lebih ramai orang seluruh dunia.

Siapakah Yang Menggunakan Creative Commons?

Selain kami di Amanz, ramai yang menggunakan pelesenan Creative Commons untuk hasil karya mereka. Selain individu persendirian, dan syarikat kecil, beberapa nama besar turut melesenkan kandungan mereka dibawah lesen ini, termasuk antaranya adalah Google, Wikipedia, Al-Jazeera dan beberapa yang lain. Di Malaysia, projek 15 Malaysia turut sama mengguna-pakai pelesenan Creative Commons untuk projek mereka.

Lesenkan Kandungan Anda Hari Ini

Bagi anda yang aktif berkongsi gambar, video dan pelbagai karya di arena internet, mungkin anda boleh menyemak laman Creative Commons hari ini, dan mula memilih lesen yang sesuai untuknya. Anda juga boleh melakukan perkara sama ketika berkongsi kandungan di YouTube, Flickr, Vimeo dan beberapa yang lain.

Komen