Cari @ Amanz

Hari ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah pun melancarkan laman sosial yang memfokuskan kepada mereka yang beragama Islam dalam berkongsi pengalaman dan info berkaitan makanan Halal. Bersama-sama dengannya, sebuah aplikasi dinamakan sebagai Halal-Square turut dilancarkan oleh mereka.

Halal-Inside

Halal-Inside boleh dikatakan membawakan rekaan yang agak ketinggalan berbanding kebanyakkan laman web sosial pada hari ini. Daripada apa yang kelihatan, selain daripada hanya membolehkan pengguna berkongsi pengalaman dan makanan kegemaran mereka, ia juga membolehkan pengguna mencari premis makanan halal, disamping memperlihatkan pelbagai promosi daripada penjual seluruh negara. Namun, beberapa fungsi masih tidak dapat digunakan secara menyeluruh buat masa ini.

Halal-Square

Aplikasi Halal-Square juga turut sama boleh dikatakan membawakan rekaan yang agak mengelirukan dan sukar untuk dikendalikan apabila pengguna menggunakannya buat pertama kali. Aplikasi Halal-Square membolehkan pengguna mengakses laman Halal-Inside ini, disamping turut disertakan dengan beberapa menu tambahan, termasuk integrasi NFC, membolehkan pengguna tap pada logo halal di premis, dan melihat status semasa mereka.

Aplikasi Halal-Square turut diintegrasikan dengan sokongan geolokasi, membolehkan pengguna melihat lokasi-lokasi dan premis makanan berhampiran dengan mudah. Namun apa yang mendukacitakan adalah dimana beberapa perkara tidak dioptimasikan untuk paparan skrin peranti mudah-alih sepenuhnya.

Walaupun kedua-dua perkhidmatan baru yang dilancarkan oleh Jakim ini membawakan konsep yang menarik, namun kedua-duanya boleh dikatakan memerlukan lebih perhatian daripada rekabentuk dan susunan fungsi dan perkhidmatan pada ia.

Apa pun, bagi mereka yang berminat, boleh memuat-turun aplikasi Android untuk Halal-Square, ataupun melayari laman Halal-Inside hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd