Carian
Mozilla Dan Epic Games Membawa Unreal Engine 3 Ke Web
March 29, 2013 Aman

Mozilla boleh dikatakan adalah salah satu syarikat dan organisasi yang membuat pelaburan tinggi untuk teknologi web. Selain daripada Firefox OS untuk telefon pintar, kini kelihatan mereka juga dalam perancangan membawakan permainan dengan grafik tinggi terus ke pelayar web.

Perkara ini dikongsikan oleh Mozilla, dimana dalam usaha membawakan permainan dengan sokongan grafik 3D terus ke pelayar web, sebuah aplikasi dinamakan Emscripten digunakan oleh mereka.

Mozilla juga turut mengumumkan dimana mereka sedang bekerjasama dengan pihak Epic Games dalam membawakan Unreal Engine 3 terus ke web. Daripada apa yang diperlihatkan, permainan pada pelayar web kelihatan berfungsi dengan lancar, dan berjalan seperti permainan natif.

Walaubagaimanapun, salah satu masalah yang mungkin dihadapi buat masa ini adalah sokongan internet yang lemah oleh kebanyakkan pengguna, apatah lagi permainan 3D dengan grafik tinggi selalunya memerlukan data seperti texture, grafik, dan sebagainya, yang mana selalunya bersaiz agak besar.

Apa pun, boleh dikatakan ini sebagai langkah awal, sebelum kita dapat melihat lebih banyak permainan dengan grafik tinggi hadir ke arena web, selain daripada permainan berbentuk kasual yang terdapat pada hari ini.

Jadi, apa kata anda berkaitan perkara ini?

Komen