Bagi mereka yang minat membaca buku, dua laman yang tidak boleh ditinggalkan adalah Amazon dan juga Goodreads. Dengan kedua-duanya mempunyai kebolehan untuk diintegrasikan antara satu sama lain, hari ini, Amazon mengumumkan yang mana mereka telah mengambil-alih laman sosial pengesyoran buku terkemuka, iaitu Goodreads.
Goodreads merupakan salah satu laman popular yang diminati ramai pembaca buku, dimana melaluinya mereka boleh mendapatkan saranan daripada rakan-rakan terdekat mereka berkenaan sesuatu buku, disamping membaca komen dan maklumbalas daripada pengguna lain. Menggunakannya juga, seseorang pengguna boleh berkongsi buku yang diminati mereka, dan menandakan buku-buku yang hendak dibaca oleh mereka pada masa akan datang.
Harga pengambil-alihan tidak diumumkan oleh kedua-dua pihak. Daripada apa yang dikongsikan, ia dikatakan terdapat lebih 16 juta pengguna berdaftar Goodreads pada hari ini, dan pada 90 hari terakhir ini, sebanyak 4 buku ditambah setiap saat pada ruangan “Want to Read” pengguna.
Dengan pengambil-alihan oleh Amazon, semestinya ia akan lebih menguntungkan dari segi jualan buku melalui Amazon, apatah lagi memberikan lebih informasi berkaitan buku melalui laman mereka, ataupun untuk pengguna Kindle daripada Amazon.