BlackBerry pada tahun ini telah mula memfokuskan kepada sistem operasi baru mereka – BlackBerry 10, dan mengikut salah satu dokumen yang tertiris ke arena web, ia memperlihatkan latar masa pembangunan dan pengeluaran peranti BlackBerry sepanjang tahun ini.
Seperti semua sedia maklum, BlackBerry Z10 telah pun mula dijual di pasaran tempatan, dengan peranti BlackBerry Q10 yang membawakan papan kekunci QWERTY bakal diperkenalkan dan dijual dalam beberapa bulan lagi.
Selain daripada kedua-dua peranti ini, ia turut kelihatan pihak BlackBerry dalam perancangan untuk memperkenalkan tablet terbaru daripada mereka pada penghujung tahun ini, selain turut hadir dengan peranti seumpama phablet pada tahun hadapan.
Buat masa ini, kesahihan berkenaan dengan latar produk ini masih tidak diketahui. Namun, sekiranya benar, mungkin kita akan dapat melihat info-info berkenaan dengan tablet terbaru daripada BlackBerry tidak lama lagi.