Dengan pengumuman pihak Google yang bakal mematikan Google Reader, salah satu topik yang kembali hangat adalah berkaitan dengan RSS. Terdapat pelbagai aplikasi dan perisian yang memudahkan anda mengikuti kemaskini semasa, dan terkini salah satunya adalah FeedRoller.
FeedRoller adalah perisian ringkas untuk Windows, dimana turut ditawarkan dalam bentuk portable. Perisian ini ditawarkan secara percuma, membolehkan sesiapa yang berminat untuk memuat-turun dan mencubanya sendiri.
Melalui FeedRoller, anda boleh menguruskan langganan RSS anda, dan menambah URL kegemaran anda pada ia. Kemudian, ia akan mula memaparkan pelbagai kemaskini artikel semasa dalam bentuk tajuk pada bahagian atas skrin komputer anda. Pengguna juga turut boleh mengubahnya untuk memaparkan pada bahagian bawah melalui skrin tetapan FeedRoller.
Pengguna juga diberikan kebebasan untuk mengubah saiz tulisan dan warna, serta bagaimana ia dipaparkan pada komputer.
Bagi mereka yang aktif mengikuti pelbagai kemaskini melalui RSS yang dilanggan mereka, mungkin anda boleh mencuba perisian FeedRoller ini hari ini.