Harga Samsung SmartTV boleh dikatakan agak mahal, dan semestinya memandangkan ia keluar setiap tahun, pengguna sedia ada mungkin terasa agak ketinggalan dengan televisyen yang dibeli sebelumnya. Untuk mengatasi perkara ini, salah satu perkara yang diperkenalkan oleh Samsung adalah kit evolusi untuk Samsung SmartTV.
Kit evolusi untuk Samsung SmartTV merupakan salah satu kit yang menyertakan pelbagai sokongan baru bersama-sama dengannya, sekaligus menambah keupayaan SmartTV sedia ada. Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu mendapatkan kit evolusi untuk Samsung SmartTV ini dan menambahnya pada SmartTV yang disokong olehnya. Sebuah slot khas disediakan pada bahagian belakang televisyen untuk memudahkan pemasangan kit evolusi ini.
Bercakap di pelancaran siri televisyen baru Samsung, mereka mengatakan kelak akan menawarkan kit evolusi untuk pengguna tempatan bermula daripada penghujung suku kedua ini ataupun pada suku ketiga kelak.
Lebih maklumat dijangka akan dikongsikan pihak Samsung Malaysia sebaik sahaja kit evolusi ini sedia untuk para pengguna tempatan.