Google Glass merupakan salah satu teknologi dan peranti yang hangat diperkatakan sejak tahun lepas, dimana beberapa syarikat mengatakan ia merupakan inovasi terhebat tahun 2012. Dengan ramai yang menantikan pelancaran Google Glass pada tahun ini, kini spesifikasi untuknya telah pun mula kelihatan melalui fail dokumentasinya.
Google Glass dikatakan akan membawakan skrin kaca mata yang mana menyerupai “paparan skrin HD bersaiz 25-inci pada jarak lapan kaki”. Memandangkan skrin terus dipaparkan pada jarak yang amat dekat dengan mata, maka mungkin walaupun ia membawakan resolusi gambar kecil, tetapi tetap nampak jelas pada mata.
Google Glass juga akan menyertakan kamera 5-megapixel dengan sokongan rakaman video pada kadar 720p, sokongan WiFi, ruangan storan 16GB (penggunaan sekitar 12GB), dan bateri yang mampu bertahan sehingga sehari untuk penggunaan biasa.
Google Glass juga dikatakan akan membawakan Bone Conduction Transducer untuk sokongan audio, membolehkan pengguna mendengar bunyi audio dengan lebih jelas, dan tidak memerlukan sebarang aksesori tambahan seperti headphone dan sebagainya.
Spesifikasi yang dikongsikan pihak Google ini adalah untuk versi pertama Google Glass, yang mana buat masa ini lebih memfokuskan kepada para pembangun.
Lebih banyak info dijangka akan dikongsikan oleh pihak Google pada acara Google I/O bulan hadapan kelak, dimana semestinya Google Glass ini akan menjadi salah satu topik utama pada acara berkenaan.