Bersama Spotify – Penyedia Perkhidmatan Muzik Berasaskan Awan

Bersama Spotify – Penyedia Perkhidmatan Muzik Berasaskan Awan

Diterbitkan pada Apr 23, 2013 oleh .

Spotify telah dilancarkan untuk para pengguna di Malaysia pada minggu lepas, sekaligus membolehkan para pengguna tempatan untuk menikmati pelbagai kandungan berbentuk muzik terus daripadanya secara percuma pada desktop, ataupun pada langganan bulanan RM14.90 pada peranti mudah-alih.

Spotify - SriramKami sendiri telah berpeluang untuk bertemu dengan Sriram Krishnan daripada Spotify Asia Pasifik untuk berkongsi lebih lanjut berkenaan dengan perkhidmatan ini. Bersama-sama dengan pelancaran untuk pengguna Malaysia, ia turut diperkenalkan untuk pengguna Hong Kong dan juga Singapura untuk rantau ini, dan dijangka akan diperluaskan lagi mengikut perancangan mereka.

Spotify disediakan untuk platform desktop dan juga peranti mudah-alih, dimana pada desktop, pengguna boleh mendengar sehingga lebih 20 juta lagu secara percuma, bukan sahaja lagu-lagu antarabangsa, tetapi turut sama menyertakan lagu-lagu tempatan dari dulu hingga sekarang. Namun, untuk versi percuma, ia memaparkan sebuah iklan. Tetapi iklan yang dipaparkan tidak begitu menganggu berbanding pelbagai perkhidmatan lain.

Untuk versi berbayar pula, Spotify menawarkan sokongan untuk peranti mudah-alih, membolehkan pengguna untuk mendengar lagu bukan sahaja secara online, tetapi juga walaupun tanpa akses internet (diperlukan untuk cache lagu terlebih dahulu). Sebanyak lebih kurang 3333 lagu boleh dimainkan dengan sokongan offline, memudahkan pengguna untuk menyimpan seberapa banyak lagu yang diinginkan pada peranti mereka.

Selain daripada hanya mendengar muzik sahaja, terdapat beberapa kandungan berbentuk audio yang lain pada Spotify, seperti podcast dan juga audiobook, namun masih tidak diberikan fokus sepenuhnya oleh pihak Spotify buat masa ini. Walaubagaimanapun, ia memperlihatkan apakah yang mampu dibawa oleh pihak Spotify pada masa akan datang, dan fokus untuk muzik mungkin hanya sekadar permulaan buat masa ini.

Spotify juga, seperti kebanyakkan perkhidmatan lain, menyertakan sokongan integrasi media sosial. Untuk pendaftaran sendiri, pengguna boleh menggunakan akaun Facebook sedia ada mereka. Disamping itu, menariknya melalui integrasi media sosial, ia membolehkan pengguna mengikuti apakah yang sedang didengar oleh rakan-rakan mereka, ataupun apakah lagu baru daripada artis-artis kegemaran mereka.

Pada aplikasi desktop, pihak Spotify juga turut serta menyertakan sokongan beberapa aplikasi pihak ketiga, membolehkan pengguna untuk tuurt sama menyertakan aplikasi lain terus pada Spotify, terutmaanya seperti Pitchfork, Lastfm dan lain-lain.

Perkhidmatan Spotify Premium bermula pada harga RM14.90 di Malaysia.Buat masa ini, Spotify disediakan untuk pengguna desktop Windows, Mac OS X, dan boleh menjalankan versi Windows pada Linux melalui sokongan Wine. Untuk peranti mudah-alih pula, Spotify menyediakan aplikasi mereka untuk Android, dan juga iOS. Versi Windows Phone turut disediakan, tetapi kelihatan tidak boleh dimuat-turun oleh pengguna tempatan buat masa ini.

Untuk pasaran Malaysia, Spotify hanya menawarkan dua versi sahaja, iaitu Spotify Free dan juga Spotify Premium. Pelan Spotify Unlimited tidak disertakan untuk pasaran Malaysia buat masa ini.

Bagi mereka yang inginkan suatu klien untuk pengurusan lagu-lagu yang diminati mereka, disamping mendengarnya terus, mungkin boleh menggunakan Spotify, serta mengurangkan penggunaan muzik cetak rompak dari hari ke hari.

Spotify Malaysia

Layari dan muat-turun klien Spotify


TIPS & ULASAN