Cari @ Amanz

WiFi Percuma SelangorkuSeperti mana yang kita semua maklum, Malaysia bakal menghadapi pilihanraya ke-13 dalam masa kurang dua minggu lagi. Berbagai manifesto yang diketengahkan oleh parti-parti yang bertanding didalam pilihanraya ini. Satu manifesto yang menarik perhatian kami adalah penyediaan WiFi percuma dari parti Barisan Nasional untuk negeri Selangor.

Untuk makluman, sebelum ini Parti Keadilan Rakyat telah mengumumkan perkara sama, dimana sebanyak 332 lokasi di Selangor telah telah dilengkapi dengan perkhidmatan WiFi manakala 15 Pusat Siber Rakyat telah dibangunkan sepanjang tahun 2008-2013. Akan tetapi, khidmat WiFi percuma tersebut hanya untuk 30 minit pertama dalam lingkungan 200 meter radius serta hanya mempunyai kelajuan 2Mbps. Menariknya, penawaran WiFi percuma tiada didalam manifesto terbaru kerajaan Selangor menjelang pilihanraya ini.

Sumber yang rapat dengan kami memberitahu ketiadaan manifesto khidmat WiFi percuma oleh Pakatan Rakyat tersebut menjelang pilihanraya ini disebabkan ianya telah hampir siap dipasang dikawasan yang terpilih. Sehingga sekarang, kami tidak berpeluang untuk mencuba WiFi yang disediakan.

Sepertimana yang pernah diberitakan terdahulu, PM Najib Razak juga mengumumkan perkhidmatan internet percuma untuk golongan kurang berkemampuan di kawasan pedalaman selama 30 minit. Maklumbalas diterima kebanyakannya mengatakan jangkamasa 30 minit percuma tidak mencukupi untuk pengguna melayari internet.

Hal ini agak menarik kerana pada zaman teknologi kini, capaian internet dilihat menjadi infrastruktur yang penting disamping bekalan elektrik dan air. Akan tetapi kami tidak fikir 30 minit percuma itu cukup untuk melayari internet. Kami lebih suka andainya khidmat tersebut dilakukan percuma secara amnya dan menyediakan khidmat lain untuk menyokong kos operasi mereka. Seperti contoh kedai kopi dilengkapi WiFi sudah pastinya memberikan pulangan kepada rakyat dan juga pemilik premis.

Akan tetapi berkemungkinan had 30 minit percuma yang diletakkan adalah untuk mencegah salah laku pengguna yang mungkin bakal terjadi. Tetapi cukupkah had masa 30 minit untuk para pengguna melakukan tugasan asas seperti menyemak emel dan sebagainya. Kami juga kurang pasti bagaimanakah had masa 30 minit ini berfungsi, sama ada pengguna boleh berhubung kembali dan menggunakan ia untuk 30 minit seterusnya ataupun hanya dihadkan untuk 30 minit sehari.

Apakah pendapat anda dengan perkara ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd