Cari @ Amanz

Kami telah berkongsi berkenaan platform penulisan baru yang dalam pembangunan sebelum ini, dinamakan sebagai Ghost. Kini nampaknya, pembangunnya telah melangkah ke fasa seterusnya, dimana mereka kini mula memasarkan dan mengumpulkan dana melalui KickStarter untuk meneruskan pembangunannya.

Ghost hadir daripada sebuah konsep, dan kini ia dibangunkan sebagai platform penulisan blog dan penerbitan yang mudah digunakan, dan dilesenkan sebagai sumber terbuka.

Daripada pembangunan terkini yang diperlihatkan mereka, salah satu perkara yang menarik perhatian adalah kebolehan untuk melihat bagaimana ia akan diterbitkan ke web dalam bentuk masa-nyata. Menurut pembangunnya, pengguna juga kelak boleh mengintegrasikan ia dengan tema laman mereka, sekaligus membolehkan mereka melihat bagaimanakah ia akan diterbitkan dan dipertontonkan kepada yang lain.

Selain itu, Ghost juga turut didatangkan dengan sebuah dashboard yang memaparkan data dengan cara yang menarik, sekaligus memudahkan anda mengikuti pelbagai data semasa berkenaan dengan laman anda dengan mudah.

Buat masa ini, ia masih lagi pada peringkat pembangunan, dan mereka menjangkakan untuk memperkenalkan ia pada tahun ini untuk umum. Selain hanya menyediakan platform tersebut, pihak mereka juga akan menyediakan perkhidmatan hosting untuk memudahkan sesiapa sahaja mendaftarkan diri dan menggunakan perkhidmatan mereka serta-merta (seperti WordPress.com dan Blogger).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd