Google Glass kini telah pun mula digunakan oleh beberapa pembangun dan pengguna awal di Amerika Syarikat, dan sebagai persediaan untuk memperkenalkannya dengan lebih meluas, kini pihak Google turut sama menyediakan sebuah video ringkas memperlihatkan bagaimana untuk menggunakan kaca mata pintar tersebut.
Melalui video permulaan ini, pihak Google memperlihatkan bagaimana mengendalikan beberapa fungsi asas, disamping menunjukkan bagaimana untuk menjadikan posisi kedudukan lensa selari dengan mata anda.
Untuk tujuan tatalan, bahagian tepi Google Glass mempunyai touchpad tersendiri, membolehkan mereka melihat pelbagai mesej ataupun berkongsi sesuatu perkara (seperti gambar) dengan rakan-rakan mereka.
Google sebelum ini telah mengatakan kaca mata pintar mereka ini mungkin bersedia untuk pengguna umum sekitar tahun 2014 kelak. Namun, masih tidak memberitahu perancangan mereka untuk memasarkan dan menawarkannya di negara luar selain Amerika Syarikat.