Cari @ Amanz

OutlookSetelah mengumumkan akan menyatukan Hotmail dan Outlook.com, hari ini gergasi perkomputeran Microsoft mengumumkan yang mana mereka telah selesai melakukannya, sekaligus membolehkan semua pengguna Hotmail mengakses akaun mereka melalui antaramuka baru yang lebih kemas, serta dilengkapi dengan pelbagai fungsi baru.

Menurut Microsoft, perkhidmatan tersebut kini mempunyai lebih 400 juta pengguna aktif, termasuk sebahagian daripada mereka yang turut sama mengakses perkhidmatan tersebut melalui peranti mudah-alih mereka.

Seperti semua sedia maklum, Outlook.com membawakan antaramuka yang lebih kemas, sekaligus memudahkan pengurusan emel terus melaluinya. Integrasi Skype juga akan hadir untuk semua pengguna tidak lama lagi.

Pada masa yang sama, pihak Microsoft turut mengatakan kini SkyDrive diintegrasikan dengan lebih mendalam pada Outlook.com, sekaligus memudahkan mereka menyimpan dokumen daripada emel terus ke SkyDrive.

Dengan penyatuan ini, mungkin kita akan melihat Microsoft memasarkan perkhidmatan emel mereka dengan lebih meluas, sekaligus menambah angka pengguna mereka ke separuh bilion tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd