media sosial mengubah cara info disampaikan.
Esok, 5 Mei 2013, rakyat Malaysia akan melakukan pengundian dan memilih wakil rakyat yang akan memimpin mereka untuk 5 tahun seterusnya. Menariknya adalah dimana PRU13 kali ini turut sama mendapat perhatian yang serius dalam arena media sosial, sekaligus membuatkan ramai mengatakan ia sebagai “PRU Media Sosial” pertama di Malaysia.
Daripada apa yang dilihat sepanjang dua minggu lepas (tempoh berkempen), kedua-dua parti utama, iaitu Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat (PKR, PAS, DAP), menggunakan pelbagai saluran bukan sahaja untuk menyampaikan informasi dan maklumat terkini, tetapi juga turut digunakan untuk berinteraksi dengan rakyat melaluinya.
Di Malaysia, dengan kadar penembusan internet yang telah pun melangkaui lebih 60%, kini media sosial telah menjadi salah satu sumber untuk mendapatkan maklumat utama. Pengguna Facebook di Malaysia sahaja dilaporkan melebihi 13 juta orang, manakala untuk Twitter, angka pengguna dianggarkan sekitar 2 juta.
Selain menggunakan kedua-dua saluran ini, ia juga dilihat, YouTube juga digunakan oleh ramai pihak, bukan sahaja oleh parti bertanding, tetapi beberapa wakil yang bertanding juga mempunyai saluran mereka tersendiri dalam menyampaikan info-info semasa melaluinya.
Namun begitu, salah satu masalah yang dihadapi adalah apabila beberapa info yang kurang tepat turut tersebar melalui arena sosial ini, dan menjadikan ia agak sukar untuk disahkan. Apatah lagi dengan informasi yang bergerak lebih pantas melalui media sosial.
Beberapa laman memantau apakah yang dikongsikan pengguna (secara umum), sekaligus membolehkan mereka mengetahui sentimen semasa pengguna berkenaan sesuatu parti. Salah satu laman popular yang memperlihatkan data seumpamanya adalah PoliTweet. Pembangunnya menawarkan pelbagai data menarik melalui laman utama, disamping menyediakan sebuah halaman khas untuk melihat apakah gambar-gambar menarik yang dikongsikan pengguna berkaitan pilihanraya. Pembangunnya turut mengatakan mereka akan hadir dengan sebuah peta heatmap untuk melihat kawasan yang hangat berinteraksi dalam laman sosial, terutamanya Twitter.
Pengiklanan internet pada pelbagai laman, termasuk YouTube.
Apa pun, dari segi kebaikkan pula, boleh dikatakan pelbagai isu dibincangkan oleh semua pengguna secara lebih terbuka, sekaligus membawa kepada kematangan politik dikalangan pengguna tempatan. Selain media sosial, arena teknologi juga digunakan dengan lebih efektif, seperti contohnya penggunaan laman LiveStream untuk menyampaikan maklumat secara siaran langsung daripada sesuatu ceramah.
Namun, beberapa pihak turut menyalah-gunakan teknologi untuk kepentingan peribadi. Masalah cybertrooper sedia diketahui ramai. Tetapi pada kali ini, beberapa masalah sekuriti juga turut kelihatan hadir.
Sepanjang bulan April, F-Secure melaporkan masalah sekuriti yang dihadapi pengguna tempatan mencapai kadar yang tinggi, disamping mengatakan beberapa dokumen dengan malware turut tersebar dikalangan pengguna.
Pada masa yang sama, beberapa laman menghadapi masalah untuk diakses, selain sesetengahnya menjadi mangsa DDoS oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Masalah spam emel juga meningkat, termasuk spam dalam bentuk SMS dan beberapa kaedah yang lain.
Apa kata anda berkenaan penggunaan media sosial ketika musim PRU ini?
Apa pun, segala kempen akan tamat pada malam ini – 11.59 malam, dimana pihak SPR turut mengatakan kempen digital turut sama perlu dihentikan pada waktu berkenaan. Untuk memantau pelbagai aktiviti selepas waktu tersebut, pihak SPR akan bekerjasama bersama SKMM dalam mengesan sebarang kempen melalui blog, Facebook, Twitter, Google+ dan sebagainya.
Dan perkara yang semestinya dinantikan ramai adalah bagaimanakah media sosial akan digunakan pada hari mengundi kelak, termasuk dari segi gambar Instagram, Twitter dan juga Facebook. Mungkinkah kita juga akan dapat melihat pelbagai perbincangan dilakukan melalui Google+ Hangout pada malam esok?
Gambar dikumpulkan daripada pelbagai sumber.