Google Drive merupakan salah satu perkhidmatan storan awan daripada gergasi enjin carian dunia, Google, dan kini nampaknya mereka menambah salah satu fungsi yang amat dinantikan pengguna, iaitu sokongan perkongsian untuk para pengguna aplikasi Google Drive untuk desktop.
Aplikasi Google Drive telah diperkenalkan sebelum ini, dimana dengan memasangnya, pengguna disediakan dengan sebuah folder khas, membolehkan mereka menambah fail dan terus di sync dengan akaun Google Drive mereka di web. Namun untuk berkongsi, ia agak sukar, dan memerlukan pengguna melakukannya melalui web.
Dengan kemaskini baru yang hadir pada aplikasi berkenaan, ia membolehkan pengguna hanya klik-kanan pada fail yang ingin dikongsikan dalam folder Google Drive, dan seterusnya memilih “Share”.
Perkara ini sekaligus menjadikan Google Drive untuk desktop menyerupai fungsi Dropbox untuk desktop, serta memudahkan pengguna untuk berkongsi fail dengan lebih mudah berbanding sebelumnya.