Bersama Adeo Ressi – Pengasas Founder Institute

Bersama Adeo Ressi – Pengasas Founder Institute

Diterbitkan pada Mei 12, 2013 oleh .

Adeo Ressi merupakan salah seorang penggiat dunia startup dari Amerika Syarikat. Semasa beliau di universiti, beliau telah menerbitkan majalah langganan yang mendapat jumlah pengedaran tinggi dikalangan pelajar. Perihal ini memberi keyakinan kepadanya untuk menubuhkan satu syarikat dinamakan sebagai Total New York sehingga ianya dibeli oleh AOL pada tahun 1995 dan ditukarkan namanya menjadi AOL Digital Cities.

Selepas kejayaan tersebut, beliau menubuhkan banyak syarikat lain sehinggalah pada 2009, dimana Adeo Ressi hadir dengan Founder Institute (FI) yang bertujuan untuk menginstitusikan para pengiat startup. Kami telah berpeluang untuk bertemu dengan beliau sewaktu di Kuala Lumpur baru-baru ini ketika melihat prestasi pelajar FI dan berikut merupakan ringkasan daripada beberapa soalan yang sempat kami bertanya dengan Adeo Ressi.

Apa beza Founder Institute (FI) berbanding program inkubator yang lain ?

Founder Institute merupakan institusi yang membantu mereka yang kebiasannya seorang pekerja untuk menubuhkan syarikat. Berbeza dengan program inkubator yang lain dimana kebanyakan peserta telah mempunyai syarikat dan memerlukan pembiayaan atau skim galakan untuk ketahap seterusnya, FI memilih mereka yang bermula dari kosong dan peserta akan melalui beberapa sesi tertentu selama beberapa minggu sebelum mereka lulus sebagai graduan institut.

Founder Institute

Perumpamaan dari Adeo Ressi sendiri, sekiranya inkubator menggilap permata supaya berkilau, FI adalah institut yang melombong dan mencari permata yang belum berkilau. Peratusan kejayaan pula adalah sebanyak 34%-36% dari peserta yang merupakan pekerja biasa sebelum ini, menjadi teknokrat IT yang mampu menunjukkan prestasi perkembangan yang mengagumkan.

Bagaimana penyertaan peserta dari Kuala Lumpur terhadap institut ini?

FI telah bertapak selama 6 minggu di Kuala Lumpur dan menyaksikan peserta yang menyertai program ini mendapat tunjuk ajar dari 25 mentor terunggul dalam dunia Startup dan beberapa mentor dari Malaysia antaranya Ai Ching dari PiktoChart, Azrul Rahim dari Slashes & Dots, Khailee Ng dari SAYS, & Lim Cheng Soon dari Netizens Media. Melalui beberapa sesi, mereka akan menjalani program yang akan membentuk mereka menjadi pengasas yang mempunyai asas kukuh didalam dunia startup masakini.

Pendapat Adeo Ressi berkenaan peserta FI Kuala Lumpur

Adeo RessiPeserta-perserta di Kuala Lumpur sekiranya dibandingkan dengan peserta dari Sydney dan Jakarta menunjukkan corak potensi yang lebih kuat. Menurut pemerhatian beliau, peserta-peserta dari Kuala Lumpur mempunyai idea yang jelas dan menarik dan tidak semua meniru idea di pelusuk dunia yang lain. Malahan, sepanjang pengalaman beliau sendiri yang telah mendengar beribu-ribu idea dan proposal dari seluruh dunia, terdapat beberapa syarikat/peserta di Kuala Lumpur yang mengetengahkan idea yang tidak pernah beliau dengar dan boleh dilakukan. Perkara tersebut sangat mengagumkan beliau. Juga, peserta dari Kuala Lumpur lebih bersedia untuk program sebegini dan menghasilkan kualiti yang baik.

Sepanjang mengendalikan FI, terdapat kes perpisahan diantara pengasas syarikat. Mengapa ini berlaku ?

Keunikan FI juga terdapat dimana sekiranya peserta dan rakan kongsi mereka menyertai program ini, ada satu sistem pemantauan dimana sistem tersebut memantau aktiviti peserta didalam syarikat. Kadangkala terdapat kes dimana seorang peserta memberikan komitmen yang jauh lebih tinggi untuk syarikat tersebut berbanding rakan kongsi mereka dan hal ini akan menimbulkan pertelingkahan. Kebanyakan perpisahan antara mereka adalah kerana kurangnya kesesuaian.

Sepertimana perkahwinan, penting untuk para pengasas syarikat memahami kekuatan masing-masing dan memberikan komitmen sama-rata untuk syarikat yang ditubuhkan. Melalui FI, perihal ini dapat dipantau dan membantu para pengasas untuk menguatkan hubungan yang akan membuatkan syarikat itu kukuh. Kebanyakan pengasas yang mempunyai kesesuaian dengan rakan kongsi/pasukan dilihat lebih berjaya didalam dunia startup yang makin mencabar ini.

Mengenai Founder Institute Kuala Lumpur

Akhir temuramah, Adeo Ressi mempunyai harapan yang tinggi dengan peserta dan juga dunia startup tempatan kerana mempunyai infrastruktur yang bagus disamping kesedaran teknologi yang tinggi. Malahan, menurut beliau, FI akan bekerjasama dengan MDeC dalam membawakan pakar-pakar teknokrat untuk menggalakkan pertumbuhan dunia startup tempatan.


TIPS & ULASAN