Setelah pelbagai desas-desus mengenai Google yang akan menyatu dan mengabungkan pelbagai perkhidmatan komunikasi mereka, hari ini pada Google I/O, gergasi teknologi berkenaan mengumumkan aplikasi baru yang dinamakan Hangouts. Ia akan ditawarkan untuk Android, iOS dan juga web bermula hari ini.
Secara ringkasnya, Hangout ini membawakan perkhidmatan seumpama beberapa perkhidmatan permesejan yang lain, tetapi turut sama didatangkan dengan beberapa ciri-ciri tambahan daripada Google, dan salah satunya adalah panggilan video berkumpulan. Berbeza dengan Google Talk, aplikasi baru ini turut dilengkapi dengan senarai rakan-rakan untuk memudahkan anda menghubungi seseorang.
Setiap senarai komunikasi juga boleh dipilih untuk disimpan, sekaligus memudahkan pengguna sekiranya ingin merujuk kembali pada masa akan datang. Perkhidmatan ini juga akan di sync ke pelbagai peranti anda, membolehkan anda menyambung perbualan anda walaupun menggunakan sebarang peranti.