Selain perkongsian mengenai aplikasi WeChat untuk BlackBerry 10 yang akan datang tidak lama lagi, pihak WeChat juga turut berkongsi beberapa info mengenai perancangan mereka untuk pasaran tempatan.
Sejak dilancarkan pada penghujung Mac yang lepas, WeChat dikatakan telah dimuat-turun oleh ramai pengguna tempatan, dan kini masih mengekalkan kedudukan sebagai aplikasi popular di Google Play Store dan juga AppStore.
Menurut pihak WeChat, kini aplikasi mereka digunakan oleh 70% daripada pengguna aktif telefon pintar tempatan, sekaligus memperlihatkan penggunaan aplikasi berkenaan yang popular dikalangan pengguna tempatan.
Salah satu ciri menarik yang digunakan ramai boleh dikatakan adalah sokongan push-to-talk, membolehkan pengguna menggunakannya seumpama menggunakan walkie-talkie.
Dalam mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran tempatan, pihak WeChat juga turut mengatakan mereka akan bekerjasama dengan beberapa jenama terkemuka. Sebelum ini, mereka telah pun mengumumkan promosi bersama pihak Dominos, selain UMobile yang menawarkan perkhidmatan WeChat secara percuma untuk pelanggan UMI (UMobile Mobile Internet).
Bercakap mengenai perancangan lanjut, mereka turut mengatakan kelak akan membuka cawangan mereka di Malaysia, sekaligus mengukuhkan kedudukan di pasaran tempatan, disamping turut memperluaskannya kepada pelbagai negara lain.
WeChat sebelum ini telah melangkaui angka 300 juta pengguna pada bulan Januari yang lepas, dan kini mereka turut berkongsi mengatakan lebih 50 juta pengguna menggunakan perkhidmatan mereka di luar China, dan angka tersebut terus meningkat dari hari ke hari.